BAHARI menunjukkan kesan tembakan pada majlis Makan Malam Bersama Ahli Kehormat Skuad 69 PDRM Zon Pantai Timur Tahun 2017 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
BAHARI menunjukkan kesan tembakan pada majlis Makan Malam Bersama Ahli Kehormat Skuad 69 PDRM Zon Pantai Timur Tahun 2017 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Nur Afiradina Arshad

Kuala Lumpur: “Empat peluru milik komunis masih tertanam dalam badan saya sejak 1976,” kata bekas polis, Bahari Ismail, 68.

Katanya, pengalaman berkhidmat ketika menentang komunis masih segar dalam ingatan walaupun sudah bersara daripada anggota pasukan keselamatan itu sejak 26 tahun lalu.

Bahari berkata, pengalaman diserang hendap komunis pada 23 Disember 1976 adalah kejadian tidak dapat dilupakan kerana kesannya masih bersemadi di dalam badannya.

“Sekarang ini masih ada empat peluru berada di bahagian belakang (badan), siku kanan dan betis kesan serangan hendap dilakukan komunis ketika itu,” katanya.

Peluru itu masih ‘bersemadi’ di dalam badan Bahari kerana menurut doktor yang merawat, kedudukannya tidak berbahaya.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang bersama satu konvoi anggota polis selepas menjalani operasi di Hutan Grik, Perak, kira-kira jam 6 petang.

“Ketika itu, saya berada di laluan antara Pengkalan Hulu dengan Bentong, menaiki sebuah Land Rover,” katanya.

Bahari berkata, apabila tiba di satu kawasan mereka diserang hendap komunis yang datang dari bukit di jalan berkenaan.

“Saya tidak menyedari kami diserang kerana memakai alat perhubungan semboyan dan tahu kereta dinaiki berhenti mengejut.

“Semua anggota dalam kereta sudah terjun menyelamatkan diri namun saya masih di dalam (kereta) sehingga seorang anggota menjerit ke arah saya dan apabila membuka alat perhubungan itu, kedengaran bunyi tembakan seperti hujan ke arah kereta,” katanya.

Katanya, dia tidak berasa sakit walaupun keseluruhan badannya dipenuhi darah dan dibawa ke hospital di Alor Setar, Kedah, untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, Bahari turut berkongsi kejadian nyawanya hampir melayang akibat terkena bom yang sepatutnya dituju kepada arah komunis namun jatuh di kawasan perkhemahan mereka.

Bahari berkata, namun pada hari kelima jam 4.30 pagi, bom dilepaskan itu jatuh di kawasan khemahnya sehingga menyebabkan anggota mereka cedera.

“Manakala, satu bom lagi jatuh mengenai anggota, dia (anggota) terbunuh dalam kejadian itu.

“Saya sedih melihat peristiwa itu dan sehingga kini apabila terkenang, air mata saya mengalir kerana keadaan mayatnya begitu menyayat hati,” katanya.

Sempena sambutan Hari Polis semalam, Bahari mahu anak muda menghargai jasa anggota yang menjaga keamanan dan keharmonian negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 5:26 AM