MAT Rejab menunjukkan gambar sijil kepujian yang diterimanya.
MAT Rejab menunjukkan gambar sijil kepujian yang diterimanya.
Zulfa Mohamad 


Kepala Batas: Kenangan pakaian seragam dipakai berlubang serta memangku rakan yang maut di atas riba akibat tembakan pengganas komunis kembali menjelma dalam ingatan bekas tentera Mat Rejab Arshad, 77, setiap kali menyambut Hari Pahlawan pada 31 Julai.

Walaupun kejadian itu sudah 45 tahun berlalu namun bagi Mat Rejab ia seolah-olah berlaku semalam, malah dia masih ingat bagaimana seorang daripada dua rakannya tersungkur atas ribanya akibat terkena peluru musuh.

Pesara tentera dari Simpang Empat Permatang Buloh, di sini, menyertai pasukan tentera British pada 1958 dan bertugas di Nee Soon, Singapura dalam Unit Royal Signal sebelum menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1966.

Menceritakan kembali kenangannya, dia tidak dapat melupakan kejadian ketika bertugas di Wang Padong, Sarawak apabila trak dipandunya diserang hendap pengganas komunis pada 27 Ogos 1971.

Mat Rejab berkata, dia ditugaskan memandu trak yang membawa 10 laras senapang M16 serta pistol serta 10 anggota tentera melalui kawasan tepi gaung dalam hutan.

“Seingat saya ketika itu jarum jam terhenti pada jam 10.40 pagi apabila trak dipandu dihujani peluru pengganas komunis ketika melalui jalan tepi gaung.

“Rakan dalam trak sempat berbalas tembakan manakala bahagian depan trak turut dihujani peluru hingga pakaian seragam saya berlubang,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Selepas berbalas tembakan selama 20 minit, dua anggota tentera terkorban tetapi Mat Rejab berjaya memandu trak melepasi kubu pengganas komunis tanpa mengalami kecederaan walaupun pakaian seragamnya berlubang terkena tembakan.

“Saya hairan bagaimana terselamat dalam kejadian itu sedangkan pakaian seragam berlubang, tetapi kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah seorang rakan dikenali sebagai Md Nor maut atas riba saya akibat tembakan komunis.

“Saya berjaya menyelamatkan 10 senapang dan pistol serta lapan anggota yang berada dalam trak berkenaan,” katanya.

Walaupun berjaya menyelamatkan lapan anggota tentera dan senjata namun Mat Rejab agak terkilan kerana dia hanya diberikan sijil kepujian yang disampaikan Pegawai Pemerintah Pasukan Tentera Malaysia Timur Mejar Jeneral Ismail Ibrahim pada 1972 yang dimuatkan dalam akhbar Sarawak Tribune.

“Selepas kejadian itu, ramai rakan bertanya kenapa tiada pangkat, saya kata tidak tahu dan sehingga hari ini hanya menyimpan sekeping sijil sebagai kenangan,” katanya.

Ketika berkhidmat dalam tentera selama 22 tahun (1958-1980), beliau turut terbabit dalam operasi bersama Malaysia-Thailand seperti Selamat Sawadi 1, Doyai Musnah 1 dan Doyai Musnah 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 10:08 AM