MA Jun bersama sebahagian kanak-kanak di sekolah yang dibina bapanya. FOTO Handout
MA Jun bersama sebahagian kanak-kanak di sekolah yang dibina bapanya. FOTO Handout
Agensi

Beijing: Bekas guru kolej sanggup meninggalkan kehidupan di bandar sejak lapan tahun lalu demi mencurahkan bakti dan kasih sayang kepada 300 kanak-kanak ditinggalkan ibu bapa yang mencari rezeki di tempat lain.

Menerusi sekolah kampung yang dibuka bapanya di daerah Zizhou, Ma Jun, 34, bersama 26 guru lain mengajar pelbagai subjek dan aktiviti kepada kanak-kanak terbabit.

Malah, dia diibaratkan ‘ibu’ ketika ketiadaan ibu bapa di samping mereka disebabkan bekerja jauh di bandar.

“Ayah menangis selepas memberitahunya saya berhenti kerja dan ingin membantunya di kampung.

“Saya berkata, saya memilih menjadi guru untuk diri sendiri dan ayah juga. Ayah semakin berusia dan menjadi tanggungjawab saya menjaganya. Kepulangan saya ke kampung memang mengejutkan ibu bapa,” katanya.

Bapanya, Ma Weishuai kini berusia 66 tahun dan masih menguruskan sekolah itu sebagai pengetua.

Selain bapa, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual insurans kini turut mengajar kelas sains komputer dan membaiki komputer.

“Pada mulanya, suami enggan bersetuju dengan keputusan saya namun dia teruskan juga.

“Guru di sini dibayar gaji rendah namun perlu berdepan kanak-kanak ini setiap hari menyebabkan mereka tidak begitu terdedah dengan dunia luar,” katanya.

Disebabkan keadaan itu, tidak ramai guru yang kekal mengajar di sekolah berkenaan dan paling singkat mereka hanya bertahan dua bulan.

“Saya tidak pernah menyesal keputusan ini. Tugas ini dilakukan dari hati dan saya amat selesa. Itu sudah cukup untuk diri saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 5:36 AM