KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Setiu: Dua maut dan tiga parah apabila dua kenderaan pacuan empat roda bertembung di Kilometer 58.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Chalok Lama, Setiu, 3.45 pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton dipandu Jafmi Mohd, 30, dari arah Setiu ke Kota Bharu hilang kawalan sebelum bertembung Mitsubishi Storm dipandu Zakaria Mamat, 35.

Jafmi patah paha kanan dan cedera di badan dan muka manakala Zakaria dari Kampung Teluk Rejuna, Tumpat, Kelantan dan penumpang yang duduk di sebelah, Mohd Nizam Ali, 26, anggota polis bertugas di Balai Polis Bercham, Ipoh, Perak maut dalam kejadian itu.

Sementara itu, dua lagi penumpang Mitsubishi Storm itu iaitu Hanafi Mamat, 47, dan anaknya Mohd Hanif, 18, parah.

Mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Elias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 7:45 PM