THANABALAN mengikat kontrak selama dua musim bersama KFA untuk saingan aksi Liga Malaysia musim ini sambil disaksikan oleh Setiausaha Eksekutif KFA Shahrul Samsudin. FOTO/IHSAN PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH
THANABALAN mengikat kontrak selama dua musim bersama KFA untuk saingan aksi Liga Malaysia musim ini sambil disaksikan oleh Setiausaha Eksekutif KFA Shahrul Samsudin. FOTO/IHSAN PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Bekas penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun negara,  N Thanabalan sah menjadi milik Kedah selepas menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Menurut siaran media rasmi KFA hari ini, Thanabalan yang juga bekas penyerang Negeri Sembilan menandatangani kontrak dua musim.

Siaran media itu turut memaparkan gambar Thanabalan yang sedang menandatangani dokumen sambil disaksikan Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin. 

"Peminat serta penyokong Kedah boleh melihat penampilan Thanabalan apabila dia dijadualkan memulakan latihan bersama skuad Lang Merah esok (Rabu)," menurut laman rasmi itu.

Thanabalan sebelum ini turut meluahkan perasaan teruja sejurus ‘disunting’ Kedah dan bertekad memenangi sekurang-kurangnya satu trofi bersama Hijau Kuning musim ini.

“Saya harapkan musim ini menjadi medan kebangkitan saya dengan semangat dan suasana baharu di Kedah. Saya juga mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak termasuk KFA dan penyokong Kedah,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 6:40 PM