Mayat bayi lelaki yang ditemui di hadapan Masjid Pulau Ketam, Tunjang pagi tadi. Foto Ihsan Pembaca dan polis
Mayat bayi lelaki yang ditemui di hadapan Masjid Pulau Ketam, Tunjang pagi tadi. Foto Ihsan Pembaca dan polis
Zuliaty Zulkiffli

am@hmetro

MAYAT  bayi lelaki cukup sifat ditemui di hadapan Masjid Pulau Ketam, Tunjang Jitra, hari ini.

Mayat ditemui dalam bungkusan di tepi pagar masjid oleh orang awam  5.30 pagi sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan 6.15 pagi daripada pengadu berhubung penemuan bungkusan yang mengandungi mayat bayi berkenaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat dengan pengadu mendapati bungkusan itu ditemui ketika dia hendak menunaikan solat Subuh di masjid dan mengangkat plastik serta meletakkan di tepi pagar masjid.

"Selepas diperiksa didapati bungkusan itu berbungkus kain batik dan ternampak kaki bayi sebelum menghubungi polis," katanya.

Mohd Ismail berkata, selepas dibuka didapati mayat berkenaan cukup sifat tetapi sudah kembung dan bengkak.

Beliau berkata, pihak Hospital Jitra dipanggil untuk menghantar pegawai perubatan ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan dipercayai meninggal dunia anggaran tempoh 24 jam.

"Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah kemudian tiba di tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Ismail berkata, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 11:27 AM