Muhammad Apendy Issahak


“ARWAH baru tiga hari beli motosikal Kawasaki Ninja 150RR dan kali terakhir kami bertemu pada Aidilfitri tahun lalu,” kata Afwa Muhamad Wazer, 38, abang kepada Allahyarham Muhsin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, hari ini.

Afwa berkata, adik bongsunya itu bekerja di kedai makan di Seri Iskandar manakala dia menetap di Ipoh dan mereka jarang bertemu.

Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kejadian kira-kira 6 pagi daripada ibunya di Kampung Layang-Layang Kiri, Parit yang mengatakan adiknya terbabit kemalangan.

AFZIR menunggu jenazah adiknya Muhsin yang terlibat dalam kemalangan . FOTO Abdullah Yusof
AFZIR menunggu jenazah adiknya Muhsin yang terlibat dalam kemalangan . FOTO Abdullah Yusof

“Ibu mendapat tahu adik kemalangan daripada kawan-kawan arwah yang datang ke rumah memberitahu.

“Saya kemudian terus ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan tiba pada 6.45 pagi, namun dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, hari ini.

Adiknya Afzir, 37, pula berkata ibunya beberapa bulan lalu pernah memaklumkan arwah ingin berkahwin tidak lama lagi.

“Arwah menyatakan kepada ibu dia sudah mempunyai calon isteri dan ingin bernikah.

“Saya juga sudah berbincang dengan arwah mengenai perkara itu dan menasihatkan mangsa supaya membuat persediaan dari segi kewangan dan sebagainya serta saya akan membantu apa yang perlu kelak,” katanya.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Kampung Layang-Layang Kiri hari ini selepas selesai bedah siasat.

RAFIEZUL (kiri) ketika menunggu jenazah adiknya Rafiq yang terlibat dalam kemalangan. FOTO Abdullah Yusof
RAFIEZUL (kiri) ketika menunggu jenazah adiknya Rafiq yang terlibat dalam kemalangan. FOTO Abdullah Yusof

Sementara itu, abang kepada Allahyarham Rafiq Hafizi Rahimi, 21, iaitu Rafiezul Asyraf, 24, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah pada tengah malam tadi ketika adik bongsunya itu keluar rumah.

Menurutnya, arwah adalah penuntut tahun akhir jurusan kejuteraan elektrikal di Universiti Tenaga Nasional di ibu negara.

“Sebelum kejadian arwah mengulangkaji pelajaran di rumah kerana akan ada peperiksaan esok, namun pada tengah malam dia mengatakan ingin keluar dan hanya senyum kepada saya.

“Kira-kira 5.30 pagi, rakan-rakan arwah memaklumkan adik saya terbabit kemalangan dan ibu meminta bapa saudara saya yang berada di Ipoh untuk memastikan kejadian,” katanya.

Menurutnya, jenazah adiknya akan dikebumikan di Kampung Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Berita berkaitan:

Mangsa kemalangan dikenal pasti

Empat maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 1:16 PM