Ernalisa Othman

Johor Bahru: Festival Sedunia Layang-Layang (FSLL) 2018 diakui memberi impak kepada golongan muda dan kanak-kanak betapa indahnya permainan tradisional yang dilihat semakin dipinggirkan.

Ibu bapa menyifatkan FSLL perlu diteruskan bagi mengekalkan keindahan permainan tradisi masyarakat lama yang kini kurang dikenali dan diminati golongan remaja mahupun kanak-kanak.

Ibu kepada dua anak, Zulaikha Abd Lateef, 36, berkata, dia dan suami mengambil pendekatan membawa kedua-dua puterinya untuk menyaksikan festival itu bagi mendidik anak-anak supaya meminati dan mengenali permainan yang popular pada zaman kanak-kanak mereka.

Mengakui kanak-kanak kini lebih terdedah dengan gajet ketika usia kecil menyebabkan mereka terpanggil untuk mendidik kedua-dua anak mengenali dan menghargai permainan warisan berzaman itu.

ZULAIKHA
ZULAIKHA

“Zaman saya dulu saya buat layang-layang daripada kertas iaitu dengan menggunakan kulit buku dan lidi penyapu.

“Zaman kanak-kanak ketika ini sudah berubah, sejak kecil mereka sibuk dengan gajet. Sebagai ibu, bila ada aktiviti seperti ini, saya bawa anak-anak dan beritahu mereka itu wau, layang-layang yang selalu ibu main ketika kecil,” katanya yang turut membeli layang-layang untuk anak-anaknya itu.

Katanya, ini tahun keenam dia bersama keluarga berkunjung ke festival berkenaan.

Sementara itu, Zulaikha berharap FSLL diteruskan setiap tahun sebagai acara tahunan.

Katanya, perubahan masa menjadikan sebahagian ibu bapa sedikit alpa untuk mengajar dan memperkenalkan anak-anak mereka kepada permainan lama.

 PENIAGA melayan pengunjung Festival Sedunia Layang-Layang 2018.
PENIAGA melayan pengunjung Festival Sedunia Layang-Layang 2018.

“Saya berharap program ini diteruskan. Saya menyokong sepenuhnya kerana ia membantu mendidik anak-anak kita supaya sayang dan kenal apa itu layang-layang.

“Warna-warni dan pelbagai bentuk layang-layang ini boleh menarik minat kanak-kanak. Jangan dihentikan acara sebegini. Sangat rugi pada saya untuk generasi akan datang,” katanya ditemui di FSLL 2018 kali ke-23 di Muzium Layang-Layang dekat Pasir Gudang.

Selain memberi kesan positif kepada golongan muda, FSLL juga memberi kenangan buat dirinya ketika zaman kanak-kanak.

Katanya, melihat layang-layang dan wau dilayangkan, sedikit sebanyak mengubati rasa rindunya kepada permainan tradisi itu.

PESERTA membuat persiapan untuk menaikkan layang-layang mereka.
PESERTA membuat persiapan untuk menaikkan layang-layang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:56 AM