Mohd Fared dan Mimi Amira memilih persembahan Mak Yong dalam resepsi perkahwinan mereka yang diadakan di Dewan Istana Majlis di Panji. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Fared dan Mimi Amira memilih persembahan Mak Yong dalam resepsi perkahwinan mereka yang diadakan di Dewan Istana Majlis di Panji. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


TERTARIK dengan plot penceritaan persembahan Mak Yong, pengantin baru menzahirkan konsep itu dalam majlis perkahwinan mereka di Panji, Kota Bharu, hari ini.

Pengantin lelaki yang juga guru tari, Mohd Fared Ramli, 29, dan pasangannya, Mimi Amira Che Mohamed Tajudin, 23, memilih tema bangsawan termasuk persembahan Mak Yong kerana keunikannya.

Ketibaan pengantin perempuan disambut dengan tiupan 'tetuang' atau semboyan daripada tanduk kerbau oleh seorang hulubalang sebelum diusung menaiki tandu dengan iringan bunyi tujuh das tembakan sebagai simbolik.

Perarakan diiringi dengan muzik tradisional Kelantan iaitu paluan kompang, rebana ubi, kertuk serta alunan muzik silat serta Raja Berangkat.

Mohd Fared yang sudah 12 tahun menjadi guru tari dan muzik berkata, dirinya sudah sebati dengan muzik tradisional itu dan memang sudah lama berhasrat untuk merealisasikan babak dalam naskah cerita Mak Yong untuk majlis perkahwinannya.

"Semua yang ada (persembahan) dalam majlis resepsi hari ini memang terdapat dalam babak perkahwinan raja dan permaisuri dalam penceritaan Mak Yong.

"Sudah lama saya impikan tema perkahwinan seperti ini malah sebaik diberitahu kepada bakal isteri (ketika itu), dia cukup seronok, malah lebih teruja daripada saya," katanya ketika ditemui di Dewan Istana Majlis di Panji, hari ini.

Sebaik pasangan pengantin bersanding di 'singgahsana', Mak Yong dipersembahkan dan apa yang menarik, Mohd Fared sendiri yang bermain tarik selampit rebab yang mengiringi persembahan itu.

Selain dari itu persembahan juga diserikan dengan Tarian Asyik dan paluan gendang Melayu Kelantan.

Bagi Mimi Amira, tema resepsi perkahwinan yang dipilih suaminya itu amat berbeza dan tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju.

"Selalunya tema perkahwinan adalah berkonsepkan moden dan kalau ada pun hanya pemakaian sahaja tradisional.

"Tapi untuk resepsi kami, ia bukan sahaja busana yang dikenakan bangsawan tapi juga persembahan, prop, malah ahli keluarga juga mengenakan persalinan songket bagi memenuhi tema ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 4:25 PM