SHERRY Ibrahim
SHERRY Ibrahim
Najiy Jefri


Andai diukur langkah Sherry Ibrahim menyelusuri lorong seni tanah air yang sarat dengan liku tajam, masih terlalu jauh untuknya melepasi garisan penamat.

Meskipun berdepan dengan pelbagai onak dan duri demi cintanya terhadap dunia lakonan, wanita berusia 34 tahun ini tidak pernah mengalah, apatah lagi berputus asa.

Kisah peribadinya menjadi bualan ramai selepas epilog cinta dengan seorang pelakon popular berakhir tahun lalu.

Walupun kecewa, dia tidak serik untuk bercinta lagi malah sering memujuk hati agar tidak terlalu memikirkan soal jodoh.

“Kehidupan perlu diteruskan walaupun hidup ini tidak semudah yang disangka. Pintu hati tidak pernah tertutup andai ada pihak sudi mengenali diri ini.

“Saya tidak berapa suka bercerita hal selain kerja. Kalau boleh kisah peribadi perkara akhir dikongsi selepas kerjaya seni dan perniagaan.

“Apa pun, jika dipertemukan dengan seseorang, harap dia adalah yang terbaik buat saya. Doakan semoga insan yang datang dalam hidup saya nanti adalah jodoh yang tepat. Insya-Allah saya akan kongsikan dengan semua apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Menurut Sherry lagi, dia suka membuka lembaran baru dalam hidupnya dan perlu menikmatinya sebaik mungkin.

“Setiap apa yang Tuhan anugerahkan, kita mesti hargai. Percintaan bukan hanya soal kasih sayang tetapi turut membabitkan keihlasan.

“Pendek kata apa saja yang kita lakukan dalam kehidupan seharian kenalah sentiasa ikhlas,” katanya.

Menyentuh perihal perniagaan produk kecantikan yang diusahakan, Sherry menzahirkan rasa syukur kerana ia semakin mendapat tempat di hati pengguna.

Ujar Sherry sejak setahun lalu, bisnesnya itu berkembang pesat.

SHERRY Ibrahim
SHERRY Ibrahim

“Saya sangat gembira apabila segala perancangan dipermudahkan Ilahi. Saya sendiri tidak percaya apabila bidang yang baru saya ceburi ini mula menampakkan kejayaan. Ini tahun kedua Deeja Cosmetic berada di pasaran.

“Banyak ilmu dan pengalaman saya timba sepanjang tahun ini termasuklah menaja pelbagai acara,” katanya.

Tambah Sherry, ada perancangan untuk melancarkan produk baru menjelang tahun 2018 bersama seorang rakan kongsi yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Insya-Allah, saya bakal keluarkan satu lagi produk sebelum kembali aktif berlakon. Saya mahu kembangkan perniagaan ini kerana mahu membantu orang menjana pendapatan,” katanya.

Merajuk

Siapa sangka, tatkala Sherry sibuk menguruskan perniagaan, ramai menganggap pengacara program Pesona Muslimah di saluran Astro Oasis ini merajuk.

“Saya tak pernah merajuk dan memang rindu nak berlakon. Tawaran ada, cuma saya terpaksa tolak kerana bercanggah dengan jadual kerja lain. Buat masa sekarang, saya seronok berniaga dan semakin selesa mengacara.

“Saya tidak mahu buat banyak kerja dalam satu masa kerana bimbang tak menjadi. Jadi, saya mahu fokus kepada perniagaan dulu. Saya puas apabila dapat berjumpa sendiri dengan pelanggan,” katanya.

Kongsi Sherry lagi, hujung bulan ini dia bakal terbabit dengan drama bersiri Syurga Yang Kedua terbitan Astro Prima.

“Jika tiada aral melintang, saya akan kembali ke set penggambaran selepas lama menyepi. Saya akan membintangi drama Syurga Yang Kedua dan Pelangi Di Abu Dhabi untuk RTM2.

“Menerusi drama Pelangi Di Abu Dhabi saya akan menjalani penggambaran di beberapa negara. Saya terima dua tawaran ini kerana wataknya sesuai dengan imej berhijab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 6:56 AM