SHARIFAH Sakinah. FOTO Pinography
SHARIFAH Sakinah. FOTO Pinography
Ramlah Zainal


Lakonan berkesannya sebagai gadis ‘bimbo’ bernama Lidya dalam drama bersiri komedi Girlfriend Aku Dari Neraka melonjakkan nama Sharifah Sakinah.

Gelaran ‘bimbo’ yang bermaksud ‘gadis cantik tetapi bodoh’ itu juga seolah-olah melekat dengan dirinya hingga sekarang.

Hakikatnya, watak Lidya yang lucu dan huru-hara dalam drama komedi arahan Dira Abu Zahar itu sekadar memenuhi tuntutan skrip semata-mata.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 28, ini berkata, impak daripada watak itu membuatkan ada peminat memanggilnya dengan gelaran itu apabila bertemunya di luar.

“Saya gembira kerana watak Lidya yang bimbo itu meninggalkan kesan kepada penonton.

“Bayangkan, ada peminat menjerit dan memanggil saya ‘bimbo’ ketika terserempak di pusat beli-belah di ibu kota sebelum ini.

“Watak Lidya dalam skrip drama itu hanya gadis yang gedik sebelum saya ubah menjadi antagonis tetapi disukai penonton.

“Apabila Lidya berdialog saja orang sudah ketawa dengan karakternya,” katanya.

Namun, sebagai pelakon berpengalaman, Sakinah ingin dikenali sebagai pelakon ‘versatile’ dan bukan genre komedi semata-mata.

“Maklumlah, saya sudah tujuh tahun menimba ilmu dalam bidang lakonan. Walaupun karakter gila-gila di luar tetapi saya serius dan sangat menjaga disiplin dalam bidang lakonan.

“Saya juga tidak memegang skrip apabila di lokasi kerana sudah buat persediaan awal untuk menjiwai karakter dibawakan,” katanya.

Pelakon yang mengagumi Datin Sofia Jane dan Hasnul Rahmat ini juga ingin melakonkan watak lebih mencabar selepas ini.

“Saya mahu bawa watak gadis gagap dan bisu pula. Saya banyak menimba ilmu lakonan daripada Abang Hasnul Rahmat untuk memperbaiki prestasi lakonan sedia ada.

“Saya juga tidak memilih hero kerana yang penting ialah karakter dan skripnya.

“Saya juga berlakon dengan pelakon baru antaranya bersama Fattah Amin dalam drama Coffee Prince,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta produk penjagaan kulit Natasha di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara lakonannya yang meninggalkan kesan kepada penonton ialah watak antagonis dalam drama Racun Menantu bergandingan dengan pelakon senior Zaidi Omar.

Selain drama, Sakinah turut menempa nama di layar perak menerusi lakonannya sebagai gadis bohsia dalam filem Pekak.

Dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu, Sakinah bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Sharifah Amani dan Ameerul Affendi.

“Saya menyukai watak sebagai gadis bohsia dalam filem Pekak. Saya puas bawa watak itu kerana filem Pekak turun tercalon pada festival filem di luar negara sebelum ini,” katanya.

Mengenai projek drama baru pula, Sakinah kini sibuk di lokasi penggambaran drama parodi 19 episod berjudul Suamiku Mat Piun bersama Along Raja Lawak dan Mark Adam.

Ingin anak ramai

Sesibuk mana pun dengan karier seni, Sakinah tetap mengutamakan keluarganya.

Hasil perkongsian hidup dengan juruterbang Aliff Adha, 29, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Anais Adha yang kini berusia lima bulan.

Menurut Sakinah, dia bertuah kerana suami merestui minatnya dalam bidang lakonan.

“Saya juga sudah kembali ke lokasi penggambaran sebaik selesai tempoh berpantang sebelum ini.

“Apa yang penting, saya perlu bijak membahagikan masa antara rumah tangga dan karier seni.

“Saya memang sibuk kerana penggambaran bermula pagi dan hanya pulang ke rumah keesokan paginya. Mujur ada ibu mentua dan pembantu rumah yang menjaga anak ketika saya keluar bekerja,” katanya.

Ditanya perancangan menambah anak, Sakinah mengakui dia mahu anak yang ramai.

“Maklumlah, kakak, Sharifah Shahirah juga idola saya. Anak sulungnya sudah berusia 20 tahun dan dia masih melahirkan anak pada usia 43 tahun.

“Saya pula terpaksa menangguhkan hasrat menambah anak kerana melahirkan Anais secara pembedahan sebelum ini.

“Selepas tiga bulan kelahiran Anais, saya juga mengandung lagi tetapi terpaksa digugurkan kerana nasihat doktor atas faktor kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 5:11 AM