MARSHA. FOTO Aswadi Alias.
MARSHA. FOTO Aswadi Alias.
Najiy Jefri


Hasrat peminat untuk melihat penyanyi dan pengacara Marsha tampil berhijab selepas mengerjakan umrah nampaknya tidak kesampaian.

Berpeluang bertemu Marsha usai program Gegar Vaganza 4 Ahad lalu, Marsha dilihat tenang saat ditanya mengenai hijab dan pengalamannya sewaktu di Tanah Suci.

Kata Marsha, dia percaya pintu hatinya akan terbuka untuk bertudung apabila sampai masa.

“Insya-Allah saya akan berubah ke arah itu. Sekarang saya masih mendalami ilmu agama sebelum melangkah ke fasa yang lebih besar dalam hidup,” katanya.

Kata Marsha, dia tidak pernah marah atau terkilan apabila ada pihak mempersoalkan pendiriannya selepas ke Tanah Suci bersama suami dan keluarga mentua pada 1 November lalu.

“Saya tidak pernah terfikir niat menunaikan umrah adalah untuk ke arah itu semata-mata. Jadi tak perlulah dipersoalkan kerana saya ke sana untuk mendekatkan diri dengan Tuhan selain turut minta doa supaya dibukakan pintu hati ke arah itu,” katanya.

Tutup cerita mengenai isu hijab, Marsha tidak ketinggalan berkongsi cerita mengenai pengalamannya menjejakkan kaki ke Makkah buat pertama kalinya.

Biarpun kepulangannya ke tanah air disambut dengan komitmen kerja, kerinduan Marsha terhadap Makkah tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Keluarga mentua banyak memberi tunjuk ajar, terutama ibu yang menunaikan umrah setiap tahun. Pelbagai andaian bermain di benak fikiran sebelum ke Tanah Suci apatah lagi mendengar pengalaman rakan.

“Setibanya di lapangan terbang saya agak gemuruh namun bersyukur ibadah umrah lancar dan semuanya dipermudahkan buat ‘orang baharu’ seperti saya,”katanya.

Katanya, sebaik tiba di Madinah dia sebak kerana mendengar pelbagai cerita termasuk ada yang tak dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu.

“Saya dengar cerita ada orang yang tiba di lapangan terbang tiba-tiba ‘hilang’. Lega saya diterima dan urusan dipermudahkan.

“Sepanjang beribadah di Tanah Suci saya tidak terfikir untuk bermain dengan telefon bimbit.

“Kalau di Malaysia selang lima minit pasti menghadap telefon. Ini antara pengalaman yang paling menyeronokkan dan sukar diungkap dengan kata-kata,”katanya.

Ditanya mengenai doa yang dimohon, Marsha berkata, dia mengharapkan segala yang terbaik untuk dirinya.

“Sudah tentu saya mohon sentiasa istiqamah, diluaskan rezeki dan dikurniakan zuriat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 3:01 AM