CHONG Wei. FOTO Luqman Hakim Zubir
CHONG Wei. FOTO Luqman Hakim Zubir
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Semuanya tampak tidak menjadi buat jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dalam dua kejohanan terakhir disertainya.

Kekalahan pada pusingan awal Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, bulan lalu nyata memberi kesan kepada pemain berusia 35 tahun itu terutama tahap keyakinannya yang diakui semakin menurun.

Di Denmark, Chong Wei ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua selepas tewas kepada pemain India, HS Prannoy manakala di Perancis, dia tunduk kepada bintang muda Jepun, Kenta Nishimoto seawal pusingan pertama.

Justeru, tanpa mahu meletakkan sebarang sasaran, Chong Wei berkata, penyertaannya pada Terbuka China bermula hari ini adalah medan untuk dia kembali mencari semula keyakinannya.

“Selepas Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, tahap keyakinan saya semakin menurun. Namun, ini adalah adat perlawanan, ada menang dan kalah, apa yang lebih penting, bagaimana saya mahu atasi situasi seperti ini.

“Saya tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri. Di Terbuka China, saya hanya mahu menikmati setiap perlawanan dan buat yang terbaik,” kata Chong Wei.

Chong Wei akan membuka tirai saingan menentang pemain Taiwan, Hsu Jen Hao pada pusingan pertama esok dan selepas Terbuka China, pemain nombor tujuh dunia itu dijadual menyertai Terbuka Hong Kong, minggu depan.

Terbuka China dan Hong Kong adalah dua kejohanan terakhir buat Chong Wei tahun ini dan dia membuat keputusan untuk berehat selepas itu bagi meluangkan masa bersama keluarganya.

“Tahun depan ada beberapa kejohanan utama (Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia). Jadi, saya mahu berehat dan pastikan diri saya segar apabila kembali membuat persiapan untuk kejohanan tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 4:45 AM