Pelajar tingkatan tiga SMKSS mendengar taklimat mengenai kaedah berkuda pada Program Menghayati Terapi Sunah di TER.
Pelajar tingkatan tiga SMKSS mendengar taklimat mengenai kaedah berkuda pada Program Menghayati Terapi Sunah di TER.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: “Sebelum ini saya memang gayat dan kurang berkeyakinan, namun selepas menjalani terapi berkuda ini, perasaan itu seakan-akan hilang,” kata Husna Nadira Zakaria, 15, yang menyertai Program Menghayati Terapi Sunah di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, semalam.

Husna Nadira antara 50 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) yang menyertai program berkenaan.

Menurut Husna Nadira, dia tidak pernah terfikir untuk menunggang kuda kerana perasaan gayat, selain kurang terdedah kepada haiwan lasak itu.

“Pada mulanya, saya sangat takut dan tidak yakin menunggang kuda tetapi saya memberanikan diri selepas dipaksa guru dan rakan.

“Tidak sangka sebenarnya seronok menunggang kuda, hanya dalam tempoh lima minit saya seakan-akan dapat mengawalnya sendiri,” katanya yang berasal dari Kampung Chendering.

Husna Nadira berkata, perasaan gayat yang dialaminya juga seakan-akan hilang apabila menjalani terapi itu yang boleh dijadikan hobi.

“Walaupun hanya menunggangnya dalam waktu singkat, ia memberi pelbagai manfaat kepada diri, selain membuatkan saya menyukai aktiviti berkuda itu,” katanya.

Bagi Muhammad Shahrin Saidi, 15, dari Kampung Gong Tok Nasek, dia yang pertama kali menunggang kuda menyifatkan ia sebagai terapi terbaik yang pernah dijalaninya.

“Sebagai pelajar, saya memang biasa mengalami tekanan dan menjalani pelbagai terapi untuk menghilangkan tekanan itu termasuk bersukan dan bersantai.

“Bagaimanapun, aktiviti berkuda ini paling menyeronokkan dan memberi ketenangan kepada minda. Biarpun pada mulanya agak cemas kerana ketinggian kuda itu, perasaan itu hanya sekejap,” katanya yang berhasrat menceburi sukan kuda lasak,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Zawawi Awang berkata, program anjuran Panitia Sejarah SMKSS itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aktiviti riadah berasaskan sunah.

“Selain berkuda, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti memanah tradisional yang berasaskan sunah.

“Program ini diharap dapat menyemai minat mereka dengan aktiviti yang bermanfaat selain dapat mengenal pasti bakat terpendam dalam kalangan pelajar.

“Pelajar yang dilihat mempunyai bakat berkuda atau memanah boleh diketengahkan dan dilatih secara serius untuk menyertai pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 6:41 AM