BEBERAPA kawasan dinaiki air akibat daripada banjir di kawasan Jalan Makloom, Jalan Sungai Pinang dan P.Ramlee. FOTO Mikail Ong
BEBERAPA kawasan dinaiki air akibat daripada banjir di kawasan Jalan Makloom, Jalan Sungai Pinang dan P.Ramlee. FOTO Mikail Ong
Shamsul Munir Safini


HUJAN lebat dan angin kencang berterusan hampir 20 jam sejak 12 tengah hari semalam hingga 7 pagi, hari ini memburukkan lagi keadaan banjir yang menjejaskan kebanyakan kawasan di Pulau Pinang.

Sehingga 8 pagi, hari ini, 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan lebih 500 mangsa banjir dipindahkan.

Tiga nyawa juta menjadi korban kejadian banjir dan ribut sementara hampir kesemua kawasan di negeri ini lumpuh ekoran jalan ditutup kerana ditenggelami air.

Kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Georgetown dan Seberang Perai serta kesesakan lalu lintas luar biasa.

Di Georgetown antara kawasan terjejas termasuk Kampung Masjid, Jalan P Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson dan Halaman Bukit Gambir.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, hujan lebat menyebabkan paras air sungai di Sungai Pinang, Sungai Air Itam dan Sungai Dondang mencecah paras bahaya dengan masing-masing mencecah 2.83 meter, 6.58 meter dan 21.88 meter.

Sementara kawasan terjejas di Seberang Perai , termasuk Taman Siakap, Permatang Rawa, Taman Senangin, Padang Lalang, Mak Mandin dan beberapa kawasan di Penanti.

Jurucakap bomba berkata, lebih banyak pusat pemindahan dibuka sejak tengah malam tadi untuk menempatkan penduduk yang terjejas.

Beliau berkata, antara pusat pemindahan yang dibuka ketika ini termasuk Dewan Orang Ramai Mengkuang Titi, Pusat Banjir Lubok Meriam, Sekolah Agama Masjid Mengkuang Semarak, Dewan Orang Ramai Kampung Kota, Dewan Pengkalan Tambang, Dewan Banjir Guar Perahu, Sekolah KAFA Kubang Semang, SK Penanti dan Surau Kampung Tok Subuh.

"Pusat pemindahan juga dibuka di SK Sungai Pinang dan SMK Teluk Kumbar 1. Kita aanggarkan lebih 500 penduduk dipindahkan di semua pusat yang dibuka.

"Sehingga kini kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan banjir yang terdekat giat dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, cuaca buruk sejak semalam juga menyebabkan 26 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masing-masing untuk ketibaan dan pelepasan ditunda.

"Sementara, tiga pesawat terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan satu pesawat ke LapanganTerbang Antarabangsa Langkawi," katanya.

Operasi bas Rapid Penang juga digantung sementara berikutan banjir buruk yang melanda Pulau Pinang sejak semalam.

Jurucakapnya berkata, banjir menyebabkan kebanyakan laluan utama di bahagian pulau dan Seberang Perai ditutup, sekali gus bas tidak dapat beroperasi.

"Demi keselamatan penumpang, kita mengambil keputusan menggantung sementara operasi bas Rapid Penang,” katanya.

ANTARA  kawasan sekitar Georgetown ditenggelami air akibat hujan lebat di Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
ANTARA kawasan sekitar Georgetown ditenggelami air akibat hujan lebat di Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam

Keadaan banjir dan ribut ini turut sudah mengorbankan tiga nyawa, setakat ini.

Dalam kejadian ribut malam tadi, warga Bangladesh dilaporkan maut manakala rakannya hilang selepas rumah mereka dihempap pokok tumbang di Kampung Perlis, Jalan Assumption, Butterworth.

Manakala di Georgetown, dua warga emas ditemui lemas di dua lokasi berasingan di dalam rumah mereka di Jalan P Ramlee dan Jalan Perak/

Wanita warga emas berusia 80-an ditemui pada 6.30 pagi, hari ini di rumah orang tua-tua di Jalan P Ramlee.

manakala lelaki berusia 70-an ditemui terapung di dalam rumah di Kampung Masjid, Jalan Perak pada 8.30 pagi.

Berita berkaitan:

Warga emas lemas dalam banjir

Tragedi rumah dihempap pokok tumbang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 11:08 AM