BEBERAPA penduduk berlindung di bumbung rumah di kampung Calumpit di wilayah Bulacan, utara Filipina, semalam selepas kampung itu dinaiki air berikutan hujan lebat yang dibawa taufan Koppu.
BEBERAPA penduduk berlindung di bumbung rumah di kampung Calumpit di wilayah Bulacan, utara Filipina, semalam selepas kampung itu dinaiki air berikutan hujan lebat yang dibawa taufan Koppu.
AP

Cabanatuan (Filipina): Taufan Koppu yang mencetuskan ribut akhirnya beredar dari pulau utama di utara Filipina semalam selepas mengakibatkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 70,000 penduduk berpindah.

Agensi bantuan bencana memberi amaran, hujan lebat mungkin menyebabkan sungai melimpah dan menyebabkan beratus-ratus kampung di hilir sungai diancam banjir.

Koppu dikategorikan taufan apabila ia melanda daratan pada Ahad lalu, tetapi mula lemah menjadi ribut dan melanda Semenanjung Luzon dengan kelajuan angin 85 kilometer sejam.

Menurut biro cuaca kerajaan, ribut itu dijangka terus melemah.

Sementara itu, cahaya matahari mula muncul di wilayah utara yang dilanda banjir dan penduduk mula menyodok lumpur tebal yang di sekeliling rumah, jalan raya dan kawasan ladang.

Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh, kebanyakannya akibat lemas, tanah runtuh, dihempap pokok tumbang dan runtuhan dinding.

Beberapa orang juga dilaporkan hilang, manakala lebih 290,000 penduduk terjejas akibat ribut itu termasuk 70,500 yang berpindah ke pusat pemindahan.

Presiden Filipina, Benigno Aquino melawat wilayah Nueva Ecija kelmarin untuk meninjau keadaan banjir dan mengagihkan bungkusan makanan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 6:58 AM