IZREEN
IZREEN
Sudirman Mohd Tahir


Selepas dua minggu berada di pentas Gempak Superstar, pelakon Izreen Azminda dilihat antara peserta paling konsisten dari segi nyanyian dan lakonan.

Izreen, 31, berkata, setiap kali mendapat tugasan dia perlu fokus banyak perkara supaya tidak kelihatan seperti badut di atas pentas.

“Apabila saya menerima tawaran ini, macam-macam dalam fikiran. Apatah lagi persepsi penonton tentu saja mencari kesilapan daripada setiap peserta. Sebab itu, saya mahu lakukan yang terbaik dari segi lakonan dan nyanyian.

“Saya tidak mahu kelihatan bodoh di pentas. Itu saja saya nak elakkan. Pada masa sama, saya tidak mahu bersikap tangkap muat dalam setiap persembahan.

“Kalau boleh saya nak penonton terhibur dengan persembahan saya. Bukannya ditertawakan atau jadi bahan ejeken,” katanya.

Menurut Izreen, dia bersyukur apabila persembahannya pada minggu pertama dan kedua mendapat komen positif daripada juri.

Sekurang-kurangnya perkara itu menambah keyakinan pelakon drama Ahli Mesyuarat Tingkap ini untuk terus bersaing.

“Saya sebenarnya ada darah gemuruh. Namun, apabila menyertai program ini saya cuba buang perasaan itu dengan membiasakan diri di pentas.

“Memandangkan sebelum persembahan sebenar kami perlu berlatih tiga hari awal di pentas sama, sedikit sebanyak ia membantu mengurangkan rasa gemuruh itu. Jadi ia tidak ada masalah untuk saya.

“Cuma apabila berlaku kesilapan teknikal dalam persembahan membuatkan saya panik. Sebabnya saya tidak pernah berada dalam situasi seperti itu. Ini berlaku pada minggu pertama,” katanya.

Mengambil kira 50 peratus undian peminat, Izreen bagaimanapun tidak mahu terlalu bergantung harap dengan mereka.

Ibu tunggal kepada seorang anak lelaki ini sekadar menampilkan persembahan terbaik dan menyerahkan kuasa undian itu ke atas mereka.

“Terpulang kepada peminat nak undi atau tidak. Saya tidak mahu mengharapkan apa-apa atau terlalu yakin nak menang. Apa yang diberikan saya cuba lakukan dengan sehabis baik.

“Saya juga tidak pernah melobi supaya diundi. Kalau mereka rasa nak undi, saya alu-alukan dan saya cukup berterima kasih. Sebab saya tak ada duit untuk bayar mereka,” katanya.

Gempak Superstar yang ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro turut menampilkan Ogy Ahmad Daud dan Amy Mastura sebagai juri tetap serta seorang juri jemputan setiap minggu.

Tolak tawaran berlakon

Berbanding Arja Lee dan Nazim Othman yang kedua-dua mereka mempunyai pengalaman menyanyi, Izreen berasakan dirinya jauh ketinggalan daripada mereka.

Disebabkan itu, Izreen terpaksa menolak tawaran berlakon kerana memberi fokus dalam satu perkara.

“Saya bukannya penyanyi profesional yang boleh lakukan banyak perkara dalam satu masa, namun suara tetap ‘maintain’.

“Saya pelakon yang baru nak belajar menyanyi, jadi tidak ada sebab untuk saya bersikap sambil lewa apatah lagi program ini berbentuk pertandingan. Saya kurang dari segi teknikal. Kalau persembahan teruk penonton mesti kritik.

“Disebabkan itu, sepanjang program ini saya terpaksa tolak tawaran berlakon drama. Cuma saya beritahu mereka sekiranya saya tersingkir, jangan pula tak panggil saya berlakon,” katanya.

Izreen berkata, bagi mengasah bakat nyanyiannya itu dia meminta tip nyanyian daripada beberapa rakan penyanyi selain mendapat tunjuk ajar daripada penasihat vokal program ini, Datuk Ramli MS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 9:22 AM