WAWA dan Aeril tidak pernah curiga jika pasangan berlakon dengan orang lain kerana memahami batasan dan adab.
WAWA dan Aeril tidak pernah curiga jika pasangan berlakon dengan orang lain kerana memahami batasan dan adab.
Sudirman Mohd Tahir


Keserasian pasangan pelakon Aeril Zafrel, 29, dan Wawa Zainal, 26, membuatkan kebanyakan penerbit drama selesa menggandingkan mereka.

Namun, keadaan itu membuatkan timbul cakap-cakap mengatakan syarat untuk berlakon bersama datangnya daripada Aeril dan Wawa.

Pendek kata, Wawa adalah pakej jika ingin mengambil Aeril berlakon dan begitu juga sebaliknya.

Menurut Aeril, itu adalah tanggapan awal segelintir pihak sebelum bertanyakan kepada mereka.

Malah, Aeril yang juga pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap mengakui sepanjang mereka berkahwin dia tidak pernah menghalang isterinya itu berlakon dengan pelakon lelaki lain.

Jika kebetulan drama itu menampilkan mereka sebagai pasangan hero dan heroin, ia adalah rezeki dan jadual mereka tidak bertembung dengan perkara lain.

“Kami tidak pernah meletakkan syarat harus berlakon bersama. Mungkin sebelum ini ada beberapa drama kami berlakon bersama membuatkan segelintir pihak beranggapan sedemikian. Baik saya mahupun Wawa, kami terbuka dalam perkara ini.

“Saya tidak pernah menghalang dia berlakon dengan orang lain, begitu juga sebaliknya. Jika isu ini timbul, sudah tentu saya tidak berlakon drama. Saya ingin ubah persepsi orang. Apa yang penting dalam perkara ini kami sebagai pasangan perlu saling memahami dan mempercayai.

“Selagi dia boleh menjaga diri, adab, maruah dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, saya okey. Soal berlakon dengan siapa tidak perlu diijadikan bahan perdebatan. Kepercayaan diberikan kepada saya juga satu amanah,” katanya.

Bagi Wawa pula, dia tidak pernah menyatakan hasrat untuk berhenti berlakon walaupun dia jarang muncul di kaca TV berbanding suaminya.

Wawa berkata, jika mendapat tawaran menarik dari segi jalan cerita dan watak, dia tidak keberatan untuk menerimanya.

“Sejak berkahwin dan memiliki dua anak, fokus saya lebih kepada keluarga. Namun, saya tidak melupakan terus dunia lakonan. Jika ada tawaran menarik dan kena dengan keadaan, saya terima.

“Menyentuh soal lakonan pula, saya dan suami tidak pernah meletakkan syarat tertentu. Saya tidak kisah jika tawaran lebih banyak kepada suami. Malah, jauh sekali nak berasa tercabar dengan pelakon wanita lain yang berlakon dengan suami.

“Sebagai isteri, saya sangat memahami suami. Dia juga tahu batasan. Jadi, apabila giliran saya berlakon pula, perkara sama dilakukan,” katanya yang bakal berlakon dalam drama arahan Syamsul Yusof.

Menurut Wawa, paling penting adalah persefahaman dan komunikasi yang berterusan.

“Kalau nak tahu, saya tak pernah bertanya macam-macam kepada Aeril apabila dia keluar. Cukup sekadar saya mengetahui dia ke mana dan dengan siapa. Begitu juga sebaliknya.

“Saya tak mahu perkara ini menjadi satu kebiasaan dalam perhubungan kami. Saya percaya tindakan seperti suka bertanya boleh membuatkan pasangan bosan seolah-olah tidak mempercayainya,” katanya.

Lebih berhati-hati

Pada masa sama, Aeril yang sebelum ini mendedahkan menjadi mangsa penipuan ahli perniagaan berpangkat Datuk membabitkan RM100,000 mengakui lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan.

Aeril yang kini terbabit dalam drama Zahir Tak Terucap berkata, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan bidang perniagaan.

“Orang yang nak menipu ini apa saja sanggup dilakukan. Jika ada kontrak dan perjanjian bertulis sekali pun, kalau memang nak menipu pasti berlaku. Orang sebegini dia tidak fikir masalah orang lain, asal saja dia sudah dapat apa yang diinginkan.

“Namun, saya percaya Allah ada bersama orang yang teraniaya. Perkara ini juga tidak mematahkan semangat untuk terus berniaga. Bagi saya, bidang perniagaan ini satu lagi sumber pendapatan.

“Sejak berniaga, saya tidak lagi terlalu berharap kepada bidang lakonan. Sekurang-kurangnya saya dan isteri ada pendapatan sampingan. Alhamdulillah, selama beberapa tahun mengusahakan beberapa perniagaan, saya seronok dan berpuas hati,” katanya.

Aeril juga mengakui tidak serik untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menjalankan urusan perniagaan.

“Apa yang berlaku satu pengajaran buat saya dan isteri malah untuk semua golongan artis yang berniaga juga. Perkara yang terjadi buatkan saya lebih berhati-hati dan jangan terlalu mudah mempercayai seseorang.

“Pun begitu, dalam perniagaan ini ada risiko yang perlu dihadapi selain soal untung dan rugi. Bagi saya, sesiapa saja pasti melalui perkara ini sama ada dalam jumlah banyak atau sikit. Paling penting, perkara ini membuatkan saya lebih peka dalam sesuatu perkara yang diusahakan,” katanya.

Sementara Wawa pula mengakui berasa sedih dengan apa yang berlaku.

“Jumlah RM100,000 bukannya sikit. Namun, saya anggap ia bukan rezeki kami. Mungkin Allah nak berikan kami rezeki lain pula. Tipu kalau saya kata tidak sedih, tetapi saya tidak boleh terlaku fikirkan masalah ini.

“Ada banyak lagi perkara lain yang perlu dibuat. Sama macam suami, saya tidak boleh putus asa dan lemah semangat. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 4:11 AM