WAWA yang kini sibuk dengan perniagaan tidak menafikan perasaan rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran. - FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
WAWA yang kini sibuk dengan perniagaan tidak menafikan perasaan rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran. - FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
Norhayati Nordin


SELAIN bakat dan penampilan menarik, pesona selebriti juga memainkan peranan penting untuk melayakkan mereka dipilih sebagai jurucakap kempen. Apabila sudah berumah tangga, keharmonian keluarga juga diambil kira dan itu antara kriteria dimiliki pasangan pelakon Aeril Zafril, 31, dan Wawa Zainal, 27.

Tujuh tahun hidup bersama, pasangan sejoli itu dikurniakan dua anak, Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4.

Baru-baru ini, Aeril dan Wawa dipilih menjadi jurucakap Kempen Pemeriksaan Kesihatan Gusi 1 Juta Gumbatte anjuran produk Systema selama tiga bulan. Meskipun memiliki gigi cantik, anak mereka berhadapan masalah gigi rosak dan sebagai ibu bapa, pasangan ini berasa bimbang memikir perkara itu.

Aeril berkata, dia dan Wawa sudah membawa anak mereka bertemu doktor gigi untuk mengetahui masalah sebenar.

“Apa yang boleh dikata, masalah gigi rosak adalah perkara biasa buat kanak-kanak.

“Sebenarnya, saya dan Wawa bawa anak berjumpa doktor untuk mendapatkan penjelasan dan rawatan sesuai bagi mengatasi masalah ini.

“Bagaimanapun, anak kami masih kecil dan proses pertumbuhan gigi susu mereka pun belum habis. Jadi, kami positif saja,” katanya.

Menurut Aeril, masalah gigi rosak anaknya bukan kerana tidak gosok gigi kerana sudah jadi rutin aktiviti itu wajib dilakukan dua kali sehari.

“Ada kala, selepas makan pun mereka akan gosok gigi selain pagi dan malam sebelum tidur.

“Ketika kecil dulu saya juga ada masalah gigi. Pendek kata, kecil dulu gigi saya tidak cantik,” katanya.

Aeril berkata, dia dan Wawa yakin anak mereka akan memiliki gigi yang cantik dan sihat apabila gigi kekal tumbuh nanti.

Sementara itu, Wawa yang kini sibuk dengan perniagaan tidak menafikan perasaan rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran.

“Sudah tentu saya rindu nak kembali berlakon. Namun, memandangkan sekarang sibuk menguruskan perniagaan maka saya harus memilih salah satu.

“Biarlah Aeril saja meneruskan karier lakonan manakala saya tumpukan perhatian terhadap perniagaan kami dan anak-anak,” katanya.

Wawa berkata, Aeril tidak pernah menghalang dia kembali aktif berlakon cuma dia tidak cukup masa untuk itu.

“Dalam hidup ini saya tidak boleh bersikap tamak. Jadi, di antara lakonan dan perniagaan, saya pilih perniagaan.

“Ia lebih buat saya rasa selesa dan ada banyak masa untuk anak-anak,” katanya.

Mengimbas kembara seninya, Wawa pernah membintangi drama dan filem selain meraih anugerah Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 2012.

Namun, karier lakonan Wawa semakin perlahan dan akhirnya menyepi selepas berkahwin dengan Aeril pada 2013 ketika berusia 22 tahun.

Sementara itu, Aeril pula baru-baru ini muncul dengan drama Cinta Tanpa Henti bersama Siti Elizad yang mengisi slot Samarinda, TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 5:00 AM