AISYAH Aziz.
AISYAH Aziz.
Najiy Jefri


Barangkali hati kecil Aisyah Aziz saat ini sarat dengan pelbagai rasa dan warna. Segala yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan malah laluannya sebagai anak seni dipermudahkan tanpa perlu menjaja kisah sensasi.

Biarpun masih ‘hijau’, kredibilitinya sebagai penyanyi diakui banyak pihak khususnya peminat.

Namun, dia tidak mudah terbuai dengan pujian sebaliknya sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Pemilik nama sebenar Nur Aishah Aziz itu juga sedar kembara seninya masih panjang dan perlu berpijak di bumi nyata.

“Syukur, apa yang saya impikan menjadi kenyataan. Mungkin inilah yang dinamakan rezeki.

“Insya-Allah, saya akan terus berusaha keras untuk memastikan dapat bertahan lama dalam bidang ini,” katanya.

Selepas menghasilan empat single iaitu Mimpi, Teman Sejati, Pulanglah dan Tanda Tanya, Aisyah kini mempertaruhkan lagu duet bersama penyanyi kelahiran Indonesia, Rizky Febian.

Diberi judul Indah Pada Waktunya, lagu itu senjata baru yang mungkin dapat mengangkat namanya di persada muzik Indonesia.

“Kolaborasi ini sangat istimewa malah dianggap usaha sama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Rizky dapat melebarkan sayapnya ke Singapura dan Malaysia manakala saya pula dapat mengintai peluang di Indonesia.

“Kerjasama ini juga peluang keemasan untuk saya berkenalan dengan ramai pemuzik hebat Indonesia. Barangkali saya boleh bergandingan dengan mereka selepas ini,” katanya.

Aisyah mengakui risau dengan penerimaan khalayak terhadap paduan suaranya dan Rizky apatah lagi jejaka itu sangat berpengaruh di negara jiran.

“Cita rasa pendengar masa kini sukar dijangka. Lagu yang dijangka bakal hit tidak semestinya diterima sementara lagu yang melodinya kedengaran biasa pula menjadi pilihan pendengar sekali gus viral di Internet.

“Disebabkan itu, saya perlu bekerja keras untuk lagu ini. Saya sentiasa berdoa agar lagu ciptaan Iffa Facher ini mendapat maklum balas positif,” katanya.

Teater asah mutu vokal

Mengulas perkembangan terkini, adik kepada pelakon Aliff Aziz itu mula berjinak-jinak dengan pentas teater di negara kelahirannya.

Dia yang sudah tiga kali menjayakan teater muzikal menganggap teater sebagai platform terbaik untuk mengasah kemahiran menjadi penyanyi yang lebih berani dan berkeyakinan diri.

“Teater adalah akademi terbaik untuk memperbaiki mutu persembahan nyanyian. Pelakon diajar mengawal pentas, lontaran vokal dan mengawal emosi penonton yang hadir.

“Jika diberi peluang menjayakan teater bahasa Malaysia, saya tidak akan berfikir panjang,” katanya.

Ditanya mengenai penampilannya yang sentiasa tampil dengan warna rambut berbeza hampir setiap tahun, Aisyah berkata, dia hanya sekadar menjadi diri sendiri dan mahu ada identiti.

“Rambut mahkota wanita. Jadi saya sentiasa mahukan yang terbaik supaya kelihatan lebih bergaya.

“Walaupun sedar ada pihak mengkritik dan kurang senang dengan penampilan ini, saya hanya mampu berdiam. Saya akan terus buat apa yang saya suka.

“Lagipun, orang boleh cakap apa saja kerana mahu melihat saya tertekan. Percayalah apabila setiap kritikan tidak dilayan, mereka pasti penat dan akan tutup mulut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 6:45 AM