SUSPEK utama, Doan Thi Huong dikawal ketat oleh stafoc keselamatan semasa dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SUSPEK utama, Doan Thi Huong dikawal ketat oleh stafoc keselamatan semasa dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Sarah Zulkifli


ANGGOTA polis memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, bahawa lelaki warga Korea Utara, Kim Chol memaklumkan bahawa matanya kabur dan tidak boleh melihat selepas mendakwa mukanya disapu oleh dua wanita.

Saksi pertama pendakwaan, Lans Koperal Mohd Zulkarnain Sanudin, 31, berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi, 13 Februari lalu itu, lelaki berkenaan turut memintanya untuk berjalan perlahan-lahan disebabkan keadaannya itu.

"Kejadian itu berlaku ketika saya sedang bertugas sebagai anggota peronda di Aras 3, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

"Lelaki yang badannya sedikit berisi itu menyuruh saya membawanya ke klinik Menara klia2 dan hanya saya seorang yang membawa Kim Chol dari Aras 3 Balai Pelepasan klia2 ke Aras 2 Balai Ketibaan," katanya.

Anggota polis itu berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, dalam perbicaraan terhadap dua wanita warga Indonesia Siti Aishah, 25, dan Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, 45, di Balai Berlepas KLIA2, kira-kira 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muhamad Iskandar : Kenapa bawa dia ke klinik?

Mohd Zulkarnain : Sebelum saya bawa si mati ke klinik Menara klia2 , saya tanyakan kepada Juliana Idris, seorang kakitangan di kaunter penerangan, adakah lelaki itu ingin membuat laporan polis atau ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Muhamad Iskandar : Kemudian?

Mohd Zulkarnain : Lelaki itu kata dia ingin ke klinik dahulu.

Muhamad Iskandar : Ketika berjalan ke klinik, bagaimana keadaan lelaki itu?

Mohd Zulkarnain : Saya dapati keadaan dirinya seperti biasa.

Muhamad Iskandar : Apakah laluan yang kamu gunakan untuk menbawa lelaki itu?

Mohd Zulkarnain : Dari Aras 3 ke Aras 2, saya telah gunakan lif.

Muhamad Iskandar : Adakah kamu bercakap dengan si mati?

Mohd Zulkarnain : Ketika keluar dari lif di Aras 2, lelaki itu berkata kepada saya, 'Sir, walk slow, my eyes blur, i cannot see'.

Muhamad Iskandar : Kamu faham?

Mohd Zulkarnain : Saya faham bahasa Inggeris yang mudah sahaja.

Saksi itu berkata, beliau kemudian memperlahankan langkah dan membiarkan Kim Chol berjalan di hadapannya menuju ke klinik.

"Apabila sampai di klinik, saya menunggu di luar dan dapat melihat kakitangan klinik melakukan rawatan kecemasan ke atas mangsa serta melihatnya bersandar di kerusi.

"Selepas itu saya pergi ke balai untuk memberitahu hal itu kepada Pusat Operasi Keselamatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Kemudian, saya kembali ke klinik menara untuk mendapatkan butir peribadi mangsa untuk membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, beliau memperoleh butiran itu melalui pasport mangsa yang diberikan oleh petugas kaunter di klinik.

"Selepas mendapatkan butir peribadi mangsa, saya kemudian pergi ke balai polis untuk membuat laporan manakala pasport saya serahkan kembali kepada petugas klinik," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung petang ini.

Berita berkaitan :

Pembunuhan Jong Nam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 3:56 PM