Doan   di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Doan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Murni Wan Omar

Shah Alam: Seorang pegawai risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan lelaki warga Korea Utara, Kim Chol atau didakwa Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin negara itu berada di dalam kereta Uber di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika wanita itu ditahan.

Inspektor Husny Hussein berkata, perkara itu dimaklumkan anggota Balai Polis klia2 yang kemudian membawa Doan Thi Huong, 28, ke balai.

Menurutnya, pada 15 Februari lalu, beliau menerima maklumat wanita warga Vietnam, Doan yang ketika itu dipercayai terbabit dengan kes pembunuhan dibawa ke balai polis klia2.

“Selepas menerima maklumat itu, saya bersama empat anggota lagi pergi ke klia2 untuk membuat tangkapan terhadap wanita itu. Saya diberitahu wanita itu berada di dalam Uber yang tidak mempunyai pemandu ketika diambil anggota polis di sana.

“Mereka (anggota polis Balai Polis klia2) tidak menahan wanita itu sebaliknya hanya mengambil Doan dan membawa ke balai untuk siasatan lanjut. Saya dan anggota menahan wanita itu dan membawanya ke IPD Sepang,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

Husny yang ketika kejadian bertugas di Jabatan D9 JSJ IPD Sepang, berkata, sebaik saja melihat wanita itu, beliau mendapati ia sama dengan imej wanita yang melakukan serangan terhadap mangsa seperti terpapar dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Seterusnya saya dan anggota menangkap wanita itu dan merampas beg berwarna biru dan putih Dior serta kasutnya. Selepas membuat laporan polis saya menyerahkan kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz pada jam 6 petang,” katanya.

Sementara itu, saksi ke- 18, Sarjan Shamsul Bahrin Abdullah, 42, yang bertugas di Balai Polis klia2 memberitahu, Kim Chol membawa sejumlah wang dalam pelbagai mata wang asing termasuk 1,240 keping mata wang AS$ 100.

Beliau berkata, pada 13 Februari lalu, pada jam 12.30 tengah hari, dia berada di pejabat pentadbiran Balai Polis klia2 dan menerima maklumat daripada kaunter aduan berhubung satu kematian di Hospital Putrajaya.

“Saya dimaklumkan si mati seorang lelaki, meninggal dunia ketika di dalam perjalanan dari klia2 ke Hospital Putrajaya. Saya kemudian terus pergi ke Jabatan Kecemasan hospital itu.

“Setibanya di sana saya ditunjukkan mayat si mati yang berada di atas pengusung beroda dan ditutup dengan kain putih. Saya membuat pemeriksaan secara rambang terhadap si mati yang badannya gempal atau berisi,” katanya.

Shamsul Bahrin berkata, dia ditunjukkan pasport atas nama Kim Chol dan barangan peribadi lain milik si mati oleh kakitangan di hospital itu.

“Saya lihat kakitangan hospital memeriksa barangan si mati. Saya lihat ada cermin mata, beberapa mata wang asing, pakaian, dua telefon bimbit jenama Nokia dan iPhone, komputer riba Dell, cincin dan rantai leher berwarna kuning, ubat-ubatan, seluar pendek, seluar denim, kemeja T, topi, seluar dalam, stokin, dompet, pencukur, pengecas telefon bimbit dan minyak wangi.

“Semua barangan itu diserahkan kepada saya dan disimpan di dalam peti besi milik Ketua Polis Daerah Sepang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 5:28 AM