BARISAN peguam dan kakitangan mahkamah  diiringi pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di klia2, semalam.
BARISAN peguam dan kakitangan mahkamah diiringi pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di klia2, semalam.
Sarah Zulkifli


Sepang: Wanita warga Indonesia, Siti Aisyah yang didakwa membunuh lelaki warga Korea Utara, Kim Chol mengadu sesak nafas dan menangis ketika melawat tempat kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, semalam.

Siti Aisyah dilihat tidak bermaya di hub pengangkutan yang terletak di aras 1 dan dia yang pada mulanya dikawal ketat oleh anggota polis kemudian diberi ruang untuk berehat serta dibenarkan duduk di bangku berhampiran.

Difahamkan, ia berlaku disebabkan jaket kalis peluru yang dipakai Siti Aisyah dan seorang lagi tertuduh wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong adalah berat selain keadaan yang agak dengan ratusan pasukan keselamatan dan media ketika prosiding perbicaraan kes bunuh itu yang masuk hari kesembilan.

Prosiding di klia2 yang bertujuan mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu bermula jam 9.40 pagi, kemudian terpaksa dihentikan selama 10 minit disebabkan keadaan Siti Aisyah.

Pihak pendakwaan kemudian memohon kedua-dua tertuduh disediakan kerusi roda bagi memudah dan membolehkan prosiding lawatan diteruskan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang memakai baju kurung lengkap jaket kalis peluru dilihat tiba di klia2 jam 8.15 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.

Prosiding selama empat jam itu dimulakan sebaik Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azman Ariffin, tiba di klia2, jam 9.50 pagi dengan diiringi jurubahasa dan kakitangan mahkamah.

Turut berada di lokasi prosiding itu, pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhammad Iskandar Ahmad dan saksi kesembilan pendakwaan, Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Superintendan (ASP) Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Dalam prosiding itu, lawatan dimulakan dengan melihat lokasi berhampiran kedai serbaneka yang dipercayai tempat Doan bersembunyi sebelum menyapu sesuatu kepada orang awam.

Tinjauan kemudian diteruskan dengan meninjau kios daftar masuk di mana Kim Chol dipercayai disapu racun VX yang terletak di balai pelepasan dan Klinik Perubatan Menara, yang berada di tingkat 2, klia2.

Sementara itu, Muhammad Iskandar ketika ditemui media, berkata lawatan di klia2 bertujuan membolehkan pihak mahkamah mengetahui laluan digunakan oleh kedua-dua tertuduh dan mangsa (Kim Chol).

“Lawatan berkenaan mengandungi tiga bahagian iaitu meninjau setiap laluan yang digunakan Siti Aisyah, Thi Huong dan Kim Chol.

“Hakim memohon lawatan dilakukan sebanyak tiga kali bagi melihat pergerakan kedua-dua tertuduh dan mangsa,” katanya.

Sepanjang lawatan itu, lebih 300 pasukan keselamatan, termasuk 200 Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) mengawal ketat kawasan dilawati di klia2.

Terdahulu, pada prosiding itu, hanya 40 petugas media yang terdiri daripada wakil media tempatan dan agensi berita luar negara, antaranya Indonesia dan Jepun, dibenarkan membuat liputan di kawasan berkenaan.

Pada 1 Mac lalu, Siti Aisyah dan Doan, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), jam 9 pagi, pada 13 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:54 AM