MAKOTO berkongsi gambarnya makan di sebuah restoran selepas dipelawa  seorang pengikutnya di Twitter. FOTO Agensi
MAKOTO berkongsi gambarnya makan di sebuah restoran selepas dipelawa seorang pengikutnya di Twitter. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Empat tahun lalu Kotani Makoto berpindah ke Tokyo untuk mengejar cita-cita menjadi pelawak tetapi dia mendapati kehidupan di kota raya itu tidak seindah yang diharapkannya.

Akibat gagal mendapatkan pekerjaan, Makoto dihalau rakan serumahnya kerana tidak mampu membayar sewa sehingga dia menjadi gelandangan.

Bagaimanapun, detik itu mengubah kehidupannya apabila rakan serumahnya memberi nasihat yang menjadi sumber inspirasi Makoto.

“Ketika dihalau rakan serumah memberitahu, saya lebih baik hidup sebagai gelandangan. Dia juga mencadangkan saya menawarkan perkhidmatan menyewa diri dengan harga 50 yen (RM1.90) sehari,” kata Makoto.

Makoto mencuba cadangan itu dan dengan menggunakan Twitter dia mengiklankan dirinya untuk disewa dan berkongsi pengalamannya itu dengan pengikutnya.

Dalam tempoh beberapa bulan saja, Makoto menerima banyak tempahan dan dia juga menjadi selebriti di media sosial dan diberi gelaran ‘Kotani Si Gelandangan’.

Makoto berkata, dia pada mulanya tidak percaya dia mampu hidup dengan bayaran 50 yen sehari tetapi selepas mencuba, dia mendapati pelanggan berasa bersalah membayar terlalu murah lalu memberi bayaran tambahan.

Pelanggan boleh menyewa Makoto untuk membuat apa saja kerja asalkan tidak melanggar undang-undang.

Makoto pernah disewa untuk berbaris panjang seharian bagi membeli satu barang edisi terhad dan berbogel untuk menjadi model satu lukisan seni.

Dia juga tidak perlu memikirkan mengenai rumah lagi kerana setiap hari pasti ada pengikut di Twitter mempelawa menumpang di rumah mereka.

Ramai pengikutnya di Twitter memberi Makoto pakaian untuk dipakai malah setiap hari pasti ada yang mengajaknya makan bersama-sama.

“Kehidupan saya kini lebih bahagia kerana seluruh negara adalah keluarga saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 4:19 AM