OOI mudah tersentuh dan gembira melihat golongan susah bahagia apabila diberi perhatian.
OOI mudah tersentuh dan gembira melihat golongan susah bahagia apabila diberi perhatian.

Berpegang kepada falsafah ‘hulurkan bantuan tanpa membuat sebarang penilaian’, Presiden Kechara Soup Kitchen (Kechara), Henry Ooi, meluangkan sepenuh masanya sejak 15 tahun lalu untuk menjalankan kerja kebajikan membantu golongan daif termasuk mereka yang terpaksa hidup di jalanan sekitar Lembah Klang.

Berasal dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang, Ooi, 64, datang ke Kuala Lumpur sekitar 1972, sebaik tamat sekolah untuk mula mencari rezeki apabila ibu bapanya tidak mampu menanggung kos pembelajarannya ke peringkat lebih tinggi.

Dia bermula dari bawah dan mencuba pelbagai jenis pekerjaan, termasuk sebagai pembantu jualan di kedai perkakasan, sebelum memulakan perniagaan dalam bidang kosmetik pada 1994 bersama-sama isterinya.

Bapa kepada empat anak itu mula serius dalam bidang kebajikan selepas berhadapan dengan masalah peribadi dan bertemu seorang sami yang membantunya mencari jalan penyelesaian, sehingga hatinya terbuka untuk membantu orang lain.

Ooi berkata, sejak itu hatinya terdetik membantu golongan susah terutama mereka yang hidup melarat di jalanan dan kini semua masanya disumbangkan untuk kerja kebajikan, manakala perniagaan kosmetik diuruskan isterinya.

Melalui kerjasama Kechara dengan Tsem Rinpoche Organisation, ia menghulurkan pelbagai bentuk bantuan antaranya membekalkan makanan dan memberi bantuan perubatan kepada golongan gelandangan.

Malah, golongan gelandangan juga dilayan seperti rakan lama dan mereka diberi perkhidmatan memotong rambut secara percuma serta dibantu untuk membebaskan diri daripada belenggu kesusahan hidup yang menyebabkan mereka terpaksa hidup merempat.

“Semua orang mahu bahagia, tidak ada yang mahu hidup sengsara. Namun ada orang yang tidak bernasib baik. Mereka menjadi gelandangan kerana pelbagai faktor.

“Kami membantu semua tanpa mengira latar belakang, agama ataupun bangsa. Kita tidak seharusnya menilai mereka dan mengecap dengan pandangan tertentu.

“Kita mungkin ingat hanya penagih dadah yang hidup di jalanan tetapi kita akan terkejut kerana ia bukan seperti itu. Ramai yang menjadi mangsa keadaan dan dulunya mempunyai kehidupan seperti kita, akhirnya menjadi gelandangan.

“Misalnya ada yang terpaksa tinggal di jalanan selepas datang dari kampung halaman ke bandar tetapi ditipu oleh agensi pencari pekerjaan hingga tidak tahu hendak ke mana. Ada pula yang dihalau anak selepas harta dikikis selain ada bercerai dan tidak tahu hala tuju mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di pejabat Kechara yang beroperasi di Jalan Barat, Kuala Lumpur.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian dan usaha dijalankan pihaknya, dia dapat melihat sendiri sifat rakyat negara ini yang diakui penyayang, baik hati dan bersedia menghulurkan pelbagai jenis bantuan, sama ada dari segi tenaga, wang mahupun masa mereka.

Bermula daripada hanya 15 bungkusan makanan yang berjaya disiapkan dan dihantar kepada golongan susah lebih 10 tahun lalu, dengan bantuan pelbagai pihak, kini Kechara mampu mengedarkan kira-kira 13,000 bungkusan makanan setiap bulan sekitar Lembah Klang.

“Sambutan daripada orang ramai terutama golongan muda juga memberangsangkan, termasuk syarikat korporat yang sudi menyumbang dan menghantar kakitangan mereka untuk membantu kami setiap minggu.

“Setiap minggu, kami ada kira-kira 50 hingga 70 sukarelawan yang sudi menyiapkan makanan dan bersama-sama menghulurkan bungkusan makanan kepada golongan gelandangan.

“Selepas berkumpul di Kechara, kami bahagikan kumpulan kepada beberapa bahagian dan bergerak ke kawasan berbeza untuk menyampaikan bantuan.

“Kadangkala kami menerima bantuan makanan ‘vegetarian’ yang dimasak oleh pihak hotel. Makanan yang kami sampaikan hanya berasaskan sayuran supaya semua orang boleh makan,” katanya.

Baginya, sebagai orang yang lebih bernasib baik, kita perlu membantu golongan susah tanpa mengira siapa mereka.

Dia menggalakkan golongan muda lebih prihatin dan menambah nilai dalam kehidupan mereka dengan menggunakan sedikit masa mereka pada hujung minggu untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Katanya, dia gembira kerana ramai golongan muda dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an mempunyai kesedaran yang tinggi dan sering membantu menjayakan misi Kechara.

“Membantu orang susah secara tidak langsung akan menerbitkan rasa bahagia dalam diri kita apabila kita melihat mereka tersenyum dan gembira dengan sumbangan yang diberikan.

“Bagi yang mempunyai keinginan terbabit dengan kerja kebajikan, tidak perlu menunggu sehingga selepas bersara. Kita boleh bermula seawal mungkin,” katanya.

Melihat wajahnya yang kelihatan jauh lebih muda berbanding usia, katanya tidak ada rahsia namun mengakui amat menitikberatkan pemakaian krim pelembap sejak usianya masih muda.

Selain menyapu krim pelembap pada sebelah siang dan malam, dia juga menggunakan krim pelindung matahari setiap hari dan melulur wajahnya setiap minggu.

“Pada masa sama, saya banyak minum air kosong dan makan sayuran segar. Saya juga lebih tenang dan sukar tertekan sekarang mungkin kerana saya tidak terlalu fokus pada diri sendiri,” katanya. - Faizatul Farlin Farush

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:03 AM