GAMBAR fail menunjukkan pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh. - AFP
GAMBAR fail menunjukkan pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh. - AFP
AFP

Yangon: Myanmar mesti menghapuskan sekatan pergerakan dan kerakyatan terhadap Rohingya untuk mengelak menyemarakkan elemen pelampau serta membawa keamanan ke wilayah Rakhine, kata suruhanjaya diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan, semalam.

Kumpulan hak asasi manusia memuji laporan itu yang dianggap kemenangan penting untuk Rohingya kerana kerajaan Aung San Suu Kyi sebelum ini berjanji akur dengan penemuannya.

Negeri di barat Myanmar yang juga antara yang termiskin sudah lama melihat masalah perkauman dan negara yang majoriti penganutnya beragama Buddha itu diselar masyarakat antarabangsa kerana penindasan terhadap Muslim Rohingya.

Annan dilantik Suu Kyi mengetuai suruhanjaya yang diberi setahun bagi memperbaiki masalah antara dua kumpulan agama itu.

“Melainkan isu-isu diatasi segera, golongan berhaluan radikal dalam kalangan kedua-dua pihak pasti meningkat.

“Jika keluhan penduduk tempatan tidak dihiraukan, mereka akan menjadi sasaran rekrut pihak pelampau,” katanya.

Laporan itu turut menggambarkan orang Rohingya sebagai ‘golongan tiada kerakyatan terbesar dunia.’

Antara cadangan diberikan adalah menamatkan semua kekangan pergerakan terhadap Rohingya dan masyarakat lain di Rakhine, selain menutup kem pelarian dihuni lebih 120,000 orang yang hidup melarat.

Myanmar juga digesa menyemak semula undang-undang yang menghalang Rohingya menjadi warganegara dan membenarkan media kebebasan bergerak di situ. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:01 AM