PENGHORMATAN terhadap Kofi Annan. Foto AFP
PENGHORMATAN terhadap Kofi Annan. Foto AFP
AFP

BEKAS Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan, diberi penghormatan negara pada majlis persemadiannya di Ghana pada 13 September ini, kata presiden negara itu semalam.

Menyifatkan ia sebagai acara besar bagi Ghana, Presiden Nana Akufo-Addo, membuat pengumuman itu selepas bertemu dengan keluarga Annan di Accra.

Annan, rakyat Ghana dan pemenang Hadiah Nobel keamanan, meninggal dunia pada 8 Ogos lalu ketika berusia 80 tahun.

“Kofi Annan ialah antara tokoh paling terkenal generasi ini. Beliau seperti seorang abang.

“Ia akan menjadi acara besar-besaran bagi negara ini. Saya jangka ramai pemimpin dunia akan hadir,” kata Akufo-Addo.

Katanya, Annan akan disemadikan di tanah perkuburan baru tentera di Accra.

Dilahirkan di Kumasi, ibu negeri wilayah Ashanti, Annan memperuntukkan empat dekad kehidupannya kepada PBB dan menjadi warga Afrika pertama memegang jawatan tertinggi di badan dunia itu.

Beliau juga kerap mendapat pujian kerana menyerlahkan profil badan dunia itu dalam politik global ketika dua penggal menjadi Setiausaha Agung PBB dari 1997 hingga 2006.

Susulan kematian Annan di Switzerland, Akufo-Addo mengumumkan tempoh berkabung seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 3:06 PM