Mohd Khidir Zakaria


FARALYSA Amani Fazil, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang hilang dipercayai dilarikan penceroboh ditemui selamat, kira-kira 9 malam ini.

Bapanya, Fazil Abdullah, 35, berkata individu yang dipercayai memecah masuk rumahnya di Kuarters Politeknik Port Dickson dan melarikan Faralysa bertindak menghantar semula anaknya itu di pondok pengawal kuarters berkenaan.

"Dia (penceroboh) dilihat meninggalkan anak saya di pondok pengawal dengan kesan kecederaan pada tangan. Individu itu melarikan diri menaiki sebuah kereta berwarna perak menuju ke arah Pasir Panjang. Saya tidak pasti siapa dia.

"Saya belum dapat bertanya apa-apa lagi dengan anak saya. Kami kini di Balai Polis Teluk Kemang untuk membuat laporan," katanya ketika dihubungi malam ini.

Fazil bersyukur anak sulungnya itu ditemui selamat dan berterima kasih kepada pihak polis serta keprihatinan orang ramai yang membantunya.

Kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang dipercayai dilarikan penceroboh yang memecah masuk rumah melalui pintu belakang ketika mereka sekeluarga sedang tidur.

Kehilangan Faralysa hanya disedari Fazil yang masuk ke bilik anaknya itu untuk mengejutkan Faralysa dan seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun daripada tidur, jam 6.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 11:47 PM