Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


"Saya bersyukur mereka sudah ditahan polis dan berharap akan menerima hukuman yang setimpal," kata Fazil Abdullah, 35 bapa Faralysa Amani, 9 yang dilarikan tiga lelaki berusia 21, 18 dan 17 tahun di rumahnya di Kuarters Politeknik Port Dickson (PPD), pada Isnin lalu.

Fazil berkata, dua daripada tiga lelaki berusia 21 dan 18 tahun yang ditahan adalah penuntut PPD dan di bawah pemantauan isterinya, Nur Asyikeen Ramli, 33 yang juga warden asrama PPD.

Katanya, mereka pernah beberapa kali diambil tindakan oleh isterinya berikutan merokok dalam asrama.

"Saya percaya mereka mahu membalas dendam sehinggakan sanggup melarikan anak saya. Sepanjang 15 jam Faralysa dilarikan, saya hanya mampu berdoa semoga semuanya selamat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Fazil, isterinya sebelum ini pernah kehilangan seluar dan baju dalam yang dipercayai dilarikan ketiga-tiga suspek terbabit.

"Bagaimanapun selepas tiga atau empat hari, mereka memulangkan semula pakaian itu. Kami percaya mereka yang memecah masuk kediaman saya bagi membalas dendam," katanya.

Katanya, dia menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:45 PM