KHAIRUL  Shahril  ketika   sidang media berhubung isu logo Perak FC di Pusat Khidmat ADUN Bota. FOTO ihsan PAFA
KHAIRUL Shahril ketika sidang media berhubung isu logo Perak FC di Pusat Khidmat ADUN Bota. FOTO ihsan PAFA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menasihatkan agar satu pertandingan mereka cipta logo Perak FC yang baharu diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed dalam sidang media hari ini berkata, baginda bertitah nasihat agar maklum balas daripada penyokong didengari, dihormati dan diberikan perhatian susulan reaksi mereka yang kurang berminat dan tidak tertarik dengan logo baharu dilancarkan Perak FC.

Menurut Khairul Shahril, pertandingan mencipta logo Perak FC yang baharu itu akan dilancarkan malam ini menerusi media sosial Perak TBG.

"Kita akan mengadakan pertandingan logo selama kira-kira seminggu iaitu empat hari dibuka untuk pertandingan mencipta logo manakala selebihnya untuk panel mengenalpasti pemenang.

"Saya mewakili kerajaan bangga dengan maklum balas daripada penyokong yang cukup mengambil berat tentang perkembangan terkini bola sepak Perak terutama berkaitan logo ini," katanya.

Pada 30 Januari lalu, Perak FC memperkenalkan logo baharu itu menerusi Instagram 'peraktbgmy' dengan mengetengahkan konsep 'a new chapter begins, but the history remains'.

Logo itu menunjukkan imej seekor seladang putih di atas lapisan hitam dengan bingkai berwarna kuning dan ramai mempertikaikan rekaan itu yang dianggap tidak kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 9:05 PM