TMJ sedia jadi orang tengah. FOTO Johor Southern Tigers
TMJ sedia jadi orang tengah. FOTO Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia menjadi 'orang tengah' pertelingkahan antara Mohamadou Sumareh dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Menurut Tunku Ismail, keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang mengarahkan PBNP supaya membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada Sumareh sememangnya cukup tinggi dan beliau akan cuba memujuk tonggak naturalisasi negara itu.

Urusan memujuk Sumerah atau lebih dikenali dengan jolokan Keli Boy itu mungkin mudah terutama selepas pemain sayap itu diumumkan sebagai pemain terbaru JDT musim ini, sekali gus menjadikan Tunku Ismail 'bos' barunya.

"Terima kasih Pahang. Saya akan berunding dengan dia (Sumareh) untuk selesaikan dengan Pahang cara baik dan kurangkan harga 'settlement' Pahang hutang dia," tulis Tunku Ismail di ruangan balas Instagram.

Isu membabitkan Sumareh dan PBNP bermula pada Ogos tahun lalu selepas tonggak kelahiran Gambia itu mendakwa PBNP gagal membayar gajinya mengikut kontrak.

Mengikut kontrak, Sumareh sepatutnya menikmati kenaikan gaji AS$5,000 (RM20,350) selepas tahun kedua bersama Tok Gajah namun dia mendakwa gajinya tidak stabil dan tertunggak beberapa bulan pada musim lalu.

RM4.9 juta yang diumumkan Fifa adalah jumlah kenaikan tahunan terkumpul yang tidak dibayar dengan pelanggaran kontrak untuk tahun 2020 dan 2021.

Selepas meninggalkan Pahang di tengah kontroversi itu, Sumareh kemudiannya menyertai kelab Thailand, Police Tero FC selama tiga bulan hujung tahun lalu sebelum kembali ke Malaysia Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:01 PM