MOHAMMED Suffian berkata PBNP juga kemungkinan melantik peguam dari luar negara untuk membantu dalam menyelesaikan kes Sumareh ini. FOTO OWEE AH CHUN
MOHAMMED Suffian berkata PBNP juga kemungkinan melantik peguam dari luar negara untuk membantu dalam menyelesaikan kes Sumareh ini. FOTO OWEE AH CHUN
Asrol Awang


Kuantan: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengesahkan menerima surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan persatuan itu membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada bekas pemain, Mohamadou Sumareh.

Sehubungan itu, bekas pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, PBNP menyerahkan kes itu kepada peguam persatuan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, antara tindakan yang dilakukan ialah mengemukakan rayuan kepada badan bola sepak dunia itu termasuk mendapatkan alasan penghakiman.

"PBNP juga kemungkinan melantik peguam dari luar negara untuk membantu dalam menyelesaikan kes Sumareh ini," kata Mohammed Suffian yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tunggakan gaji pemain naturalisasi negara, Sumareh apabila FIFA mengarahkan PBNP membayar RM4.9 juta kepada bekas pemain Pahang itu.

Sebelum ini, Sumareh mengambil tindakan untuk membuat aduan rasmi ke FIFA kerana tidak dibayar gaji selama beberapa bulan ketika bersama skuad Tok Gajah musim lalu.

Sumareh menandatangani kontrak dengan Pahang sehingga 2022 dan mempunyai kenaikan gaji sebanyak AS$5,000 (RM20,362) setahun pada musim kedua.

Bagaimanapun, FIFA mendapati Pahang gagal membayar gaji mengikut kontrak yang ditandatangani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 2:25 PM