AKSI Liga Hoki Malaysia sepatutnya bermula 14 Januari hingga 20 Februari.
AKSI Liga Hoki Malaysia sepatutnya bermula 14 Januari hingga 20 Februari.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bagi mengelak berlakunya 'kluster hoki', lebih baik saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) ditangguhkan buat sementara waktu selepas kes Covid-19 yang semakin meningkat di dalam negara.

Bekas pemain negara, Rodzhanizam Mat Radzi berkata, MHL yang sepatutnya bermula Khamis ini perlu ditangguhkan demi keselamatan dan kesihatan semua pihak terutama membabitkan pemain, jurulatih, pegawai dan pengadil pertandingan.

"Pengumuman mengenai status MHL ini sepatutnya diumumkan hari ini atau esok namun pada pendapat saya lebih baik ia ditangguhkan," katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai penganjuran kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, Rodzhanizam berpendapat ia tidak akan memberikan sebarang kesan kepada pemain mahupun pasukan jika saingan liga itu ditangguhkan sementara waktu.

"Jika ia ditangguhkan ia memberi kesan positif bukan hanya dari sudut kesihatan dan keselamatan malah memberi peluang buat setiap pasukan mempersiapkan diri. Mereka mempunyai tempoh lebih lama untuk membentuk keserasian jika ia ditangguhkan. Tidaklah tergesa-gesa untuk terus bermain, kerana ada yang membariskan muka baru," katanya. Ditanya mengenai kesan kepada skuad kebangsaan pula, beliau berpendapat jika saingan ditangguhkan sehingga pertengahan tahun, pemain negara akan lebih fokus di dalam latihan jika Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) mengikut jadual asal (Mac).

"Tidak ada kesan negatif juga buat pemain kebangsaan, sebaliknya mereka tidak terganggu dengan saingan liga jika ditangguhkan. Jadi mereka boleh lebih fokus dalam sesi latihan tanpa perlu memikirkan mengenai kelab yang diwakili," katanya.

MHL sepatutnya membuka tirai pada 14 Januari hingga 20 Februari sementara kategori wanita pada 20 Januari hingga 20 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 9:52 PM