SKUAD negara tidak dapat menjalani latihan di padang. FOTO Asyraf Hamzah
SKUAD negara tidak dapat menjalani latihan di padang. FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengendali skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj akur dengan penangguhan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) yang sepatutnya berlangsung Mac depan dan berharap dalam tempoh senggang itu saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) dapat dilangsungkan.

Menurut jurulatih berusia 47 tahun itu, beliau berharap MHL dapat diadakan dalam tempoh berkenaan demi kebaikan pemain.

"Pemain memerlukan minit permainan, mereka juga perlukan suasana pertandingan dan juga kembali kepada aktiviti selaku pemain hoki," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bagaimanapun, beliau mengakui apa sahaja keputusan mereka harus menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) jika mahu saingan MHL diteruskan

"Cuma buat masa sekarang kita teruskan latihan atas talian seperti biasa di mana kita menumpukan kepada kekuatan pemain, manakala ada beberapa latihan yang dilakukan sendiri oleh pemain.

"Apa yang boleh saya katakan buat masa sekarang kita tidak boleh bermain hoki (disebabkan pandemik Covid-19)," katanya yang pernah membimbing pasukan UniKL.

Dalam pada itu beliau juga berkata, keutamaan untuk skuad kebangsaan akan difokuskan kepada Piala Sultan Azlan Shah terlebih dulu berbanding ACT.

"ACT dijangka berlangsung semula pada Oktober selepas temasya Olimpik Tokyo. Jadi sebelum itu kita akan mengharungi Piala Sultan Azlan Shah. Jadi keutamaan kita selepas ini adalah kepada kejohanan di Ipoh pada Jun depan," katanya.

Piala Sultan Azlah Shah yang dibatalkan tahun lalu akibat Covid-19 dijangka akan berlangsung semula tahun ini pada 18 hingga 27 Jun.

Kelmarin Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengumumkan Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac hingga 7 April ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Badan sukan hoki Asia itu memutuskan untuk menangguhkan kedua-dua kejohanan terbabit sehingga separuh kedua tahun ini demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan semua peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 10:28 PM