AKSI  Heung-Min menjaringkan gol kedua Tottenham. FOTO AFP
AKSI Heung-Min menjaringkan gol kedua Tottenham. FOTO AFP
AFP

London: Jose Mourinho menggesa Tottenham meneruskan perjuangan selepas jaringan penting Son Heung-min memastikan kemaraan ke final Piala Liga dengan menewaskan Brentford 2-0, awal pagi tadi.

Moussa Sissoko meletakkan skuad Mourinho di hadapan pada aksi separuh akhir di Stadium Tottenham Hotspur tetapi Tottenham selepas itu bergelut mencari jaringan menentang kelab Championship, Brentford sehinggalah Heung-Min meledak jaringan kedua ketika permainan berbaki 20 minit.

Tottenham akan menentang Manchester United atau juara bertahan Manchester City yang akan bertemu pada separuh akhir kedua awal pagi esok pada final 25 April di Wembley.

Ia final domestik pertama mereka sejak tewas kepada Chelsea pada Piala Liga 2015 dan juga final pertama dalam semua kejohanan sejak tewas kepada Liverpool pada Liga Juara-Juara 2019 di Madrid.

"Final dalam masa tiga bulan lagi, kami perlu tunggu. Jadi kami perlu fokus perlawanan lain selepas ini,'' kata Mourinho.

"Kita ada Piala FA, Liga Perdana, Liga Europa, jadi lupakan final ketika ini tetapi apabila April tiba, kami perlu bersedia dan berjuang untuk trofi."

GAYA  Sissoko  meraikan jaringan. FOTO AFP
GAYA Sissoko meraikan jaringan. FOTO AFP

Mourinho yang dilantik pada November 2019 berharap dapat membawa Tottenham menjulang trofi utama mereka sejak Piala Liga 2008.

Dia telah pun menjuarai kejohanan itu empat kali, kali pertama bersama Chelsea pada 2005 dan memenanginya dua kali sebelum mengecapinya bersama Manchester United pada 2017.

Mourinho pengurus ketiga mara ke final Piala Liga bersama tiga kelab berbeza selain Ron Atkinson dan Ron Saunders.

"Ini perlawanan yang membawa kami ke final. Sudah tentu kami sangat gembira," kata Mourinho.

"Kami tidak beraksi dengan cemerlang, kadang-kadang salah keputusan, sentuh lebih daripada sekali. Bukan permainan kebiasaan kami tetapi masih dalam kawalan menentang kelab yang mungkin beraksi di Liga Perdana tahun depan.''

Brentford yang menduduki tangga keempat Championship mencipta kejutan sebelum ini dengan menewaskan empat kelab Liga Perdana Southampton, Newcastle, Fulham dan West Bromwich Albion untuk mara ke separuh akhir pertama domestik.

Tetapi Tottenham hanya memerlukan 12 minit untuk meletakkan mereka di depan menerusi tandukan kencang Sissoko selepas mendapat hantaran Sergio Reguilon. Ia jaringan pertama pemain tengah Perancis itu sejak Disember 2019 sekaligus menamatkan kemarau jaringan yang berlarutan 36 perlawanan.

Brentford cekal bertahan sehinggalah Heung-Min meledak gol kedua pada minit ke-70 menerusi rembatan kencang selepas mendapat hantaran cantik Harry Kane.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:44 AM