TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memakaikan 'vest' kepada Timbalan Mufti Sarawak Mual Suaud ketika melancarkan program Sahabat Maktab. IHSAN Tabung Haji
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memakaikan 'vest' kepada Timbalan Mufti Sarawak Mual Suaud ketika melancarkan program Sahabat Maktab. IHSAN Tabung Haji
Nasharuddin Muhammad


BERBEKAL pengalaman, ilmu dan kepakaran dimiliki, jemaah haji yang dipilih sebagai Sahabat Maktab bersyukur dapat menyumbang khidmat secara sukarela kepada rakan jemaah lain.

Pakar perubatan keluarga, Dr Nor Azah Mohamad Nawi, 46, berkata, dia sebelum ini pernah dua kali menyertai rombongan perubatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Menurutnya, dengan pengalaman yang diperoleh ketika bertugas pada 2009 dan 2010, sedikit sebanyak dia memahami masalah yang biasa dihadapi jemaah haji.

TIGA Sahabat Maktab, Dr Nor Azah Mohamad Nawi, 46; Timbalan Mufti Sarawak, Mual Suaud, 49; dan Yami Sulaiman, 52, yang membantu TH secara sukarela atas kapasiti kepakaran masing-masing. IHSAN Tabung Haji
TIGA Sahabat Maktab, Dr Nor Azah Mohamad Nawi, 46; Timbalan Mufti Sarawak, Mual Suaud, 49; dan Yami Sulaiman, 52, yang membantu TH secara sukarela atas kapasiti kepakaran masing-masing. IHSAN Tabung Haji

"Berbekalkan pengalaman pernah bertugas di Tanah Suci serta kepakaran yang ada, saya bersyukur dapat membantu jemaah lain sebagai Sahabat Medik.

"Bagaimanapun, kami tidak memberikan rawatan seperti pegawai perubatan yang bertugas kerana tidak mempunyai peralatan tertentu yang diperlukan.

"Sebaliknya, kami lebih kepada memberikan khidmat nasihat kepada jemaah yang memerlukan terutama berkaitan penjagaan kesihatan," katanya yang bertugas di Klinik Kesihatan Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah.

Timbalan Mufti Sarawak, Mual Suaud, 49, berkata ketika datang ke Tanah Suci, dia memang diminta kerajaan negeri untuk membantu jemaah dari negeri itu berkaitan pelaksanaan ibadat haji mereka.

Menurutnya, kebetulan terdapat petugas TH yang mengenalinya lalu diminta untuk berkhidmat sebagai Sahabat Ibadat.

"Jadi, dengan serba sedikit ilmu yang ada ini, dapatlah saya berkongsi dengan jemaah lain dan membantu mereka sekadar yang termampu

"Selain beribadat, membantu jemaah lain juga satu ibadat," katanya.

Pengurus agensi takaful berasal dari Melaka dan kini menetap di Alor Setar, Kedah, Yami Sulaiman, 52, berkata, dia bersyukur dapat berkhidmat untuk membantu jemaah lain sebagai Sahabat Maktab.

"Semoga dengan khidmat bakti sukarela ini akan membolehkan kami memperoleh haji yang mabrur," katanya.

Majlis pelancaran rasmi program Sahabat Maktab itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Hotel Abraj Al-Fadhela, Makkah yang menempatkan Maktab 81.

Program dimulakan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2006 dengan jemaah terpilih akan membantu kira-kira 600 petugas haji menjaga kebajikan dan keselamatan rakan jemaah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:37 AM