PENYAKIT kayap atau ‘shingles' disebabkan oleh virus sama iaitu varicella-zoster yang turut menyebabkan jangkitan cacar air.
PENYAKIT kayap atau ‘shingles' disebabkan oleh virus sama iaitu varicella-zoster yang turut menyebabkan jangkitan cacar air.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TAHUKAH anda penyakit kayap atau 'shingles' disebabkan virus sama iaitu varicella-zoster yang turut menyebabkan jangkitan cacar air?

Apabila seseorang itu pulih daripada cacar air, virus tidak dimusnahkan sepenuhnya dalam tubuh, sebaliknya ia kekal tidak aktif dalam sistem saraf.

Menurut Pakar Bedah Otak dan Saraf, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Nor Faizal Ahmad Bahri, penyakit kayap berlaku apabila virus varicella-zoster yang tidak aktif dalam saraf periferal seseorang menjadi aktif semula.

Keadaan itu boleh berlaku apabila sistem kekebalan tubuh seseorang lemah, misalnya disebabkan tekanan, penyakit atau penuaan.

Kata Dr Nor Faizal, virus menyerang saraf deria sentuhan di kulit, menyebabkan ruam merah berbentuk gelembung, rasa sakit dan gejala lain pada kulit di kawasan yang terjejas.

"Kayap biasanya berlaku dalam bentuk jalur yang mengikut saraf sentuhan tertentu. Kawasan yang sering terjejas di bahagian dada, pinggang, perut dan punggung.

"Ruam dan kesakitan sering berlaku di sepanjang jalur saraf deria sentuhan yang berasal dari tulang belakang. Jaluran ruam memberi bentuk lingkaran yang kelihatan menjalar dan melilit badan," katanya kepada Harian Metro.

Dr Nor Faizal berkata, kayap boleh mempengaruhi muka termasuk mata dan kawasan terjejas boleh menjadi sangat berbahaya dan memerlukan penjagaan perubatan segera.

Pada masa sama, kayap boleh mempengaruhi kawasan kulit kepala dan leher namun ia jarang berlaku.

"Faktor mengapa shingles berlaku pada satu sisi badan dalam pita atau jalur kerana virus varicella-zoster yang tidak menjangkiti satu atau lebih saraf deria sentuhan yang berasal dari saraf tunjang ketika pesakit menghidapi cacar air.

"Apabila virus itu menjadi aktif semula, ia mengikuti laluan saraf berkenaan menyebabkan gejala dan ruam pada kawasan yang dijangkiti.

"Penting untuk diingat kayap bukan penyakit berjangkit seperti cacar air namun individu yang belum pernah mengalami cacar air atau divaksin dengan vaksin cacar air boleh dijangkiti virus varicella-zoster melalui kontak dengan kudis yang berisi cecair dari ruam kayap," katanya.

VIRUS menyerang saraf deria sentuhan di kulit menyebabkan ruam merah berbentuk gelembung, rasa sakit, dan gejala lain pada kulit di kawasan yang terjejas.
VIRUS menyerang saraf deria sentuhan di kulit menyebabkan ruam merah berbentuk gelembung, rasa sakit, dan gejala lain pada kulit di kawasan yang terjejas.

Tambah Dr Nor Faizal, penyakit kayap berisiko menjangkiti individu yang sebelum ini pernah mengalami penyakit cacar air.

Selain itu, individu yang mempunyai sistem kekebalan tubuh yang lemah, mengalami tekanan, penuaan dan sejarah keluarga (genetik) juga berisiko dijangkiti penyakit itu.

"Apapun pengambilan vaksin seperti Zostavax atau Shingrix boleh membantu mengurangkan risiko penyakit itu dan ia disarankan terutama kepada individu berisiko tinggi seperti golongan berusia 50 tahun ke atas atau yang mempunyai sistem kekebalan lemah.

"Jadi, memahami faktor risiko itu penting untuk kesedaran dan tindakan pencegahan, individu yang berisiko tinggi atau yang mungkin mempunyai gejala penyakit kayap perlu mendapatkan nasihat perubatan serta pertimbangkan vaksinasi jika disyorkan doktor," katanya.

Mengulas lanjut Dr Nor Faizal berkata, risiko penyakit kayap kepada bayi atau kanak-kanak adalah rendah.

Ini kerana kanak-kanak yang belum pernah mengalami cacar air akan mengalami cacar air pertama sebagai penyakit pertama mereka jika terdedah kepada virus varicella-zoster.

"Meskipun risiko kayap kepada bayi atau kanak-kanak sangat rendah, adalah penting untuk memahami bahawa kanak-kanak boleh mendapat cacar air dari individu yang mengalami cacar air atau kayap.

"Oleh itu, penting untuk memastikan kanak-kanak menerima vaksin cacar air yang disyorkan pihak berkuasa kesihatan untuk melindungi mereka," katanya.

Dalam pada itu, antara komplikasi boleh berlaku akibat jangkitan penyakit kayap adalah rasa sakit kronik yang terus menerus lebih dari tiga bulan atau berulang di kawasan terbabit.

Ia juga menyebabkan komplikasi serius iaitu radang pada lapisan pelindung otak dan sumsum tulang belakang, yang dikenali sebagai meningitis serta memerlukan rawatan segera.

"Komplikasi lain, kayap juga boleh menyebabkan radang otak (ensefalitis) dan dan memerlukan perawatan intensif.

"Selain itu ia menyebabkan gangguan saraf dan radang di sekitar mata (herpes zoster ophthalmicus) jika tidak dirawat segera boleh mengakibatkan masalah pada mata dan penglihatan," katanya.

Menyentuh mengenai rawatan untuk mengubati penyakit kayap, Dr Nor Faizal berkata, doktor boleh memberi ubat antivirus seperti asiklovir, valasiklovir, atau famsiklovir yang dapat membantu mengurangkan perkembangan virus herpes zoster, mengurangi tempoh jangkitan, mengawal tahap keparahan gejala serta mengurangi risiko

komplikasi.

AMAT penting untuk memahami bahawa kanak-kanak boleh mendapat cacar air dari individu yang mengalami cacar air atau kayap.
AMAT penting untuk memahami bahawa kanak-kanak boleh mendapat cacar air dari individu yang mengalami cacar air atau kayap.

Selain itu, doktor boleh memberi ubat penahan sakit yang mudah seperti paracetamol, acetaminophen atau ibuprofen dan dalam beberapa kes lebih serius, ubat lebih kuat seperti opioid mungkin diperlukan.

"Kadang-kadang kala, ubat anti virus topikal seperti krim asiklovir boleh digunakan untuk mengubati kayap pada kawasan kulit tertentu.

"Ubat penahan sakit topikal lain seperti krim mengandungi lidokain atau kapsaisin juga dapat membantu meredakan gatal dan sakit pada kulit.

"Penting untuk segera berkonsultasi dengan doktor jika mengalami gejala kayap kerana perubatan yang cepat dapat membantu mengurangi risiko komplikasi," katanya.

Sementara itu Dr Nor Faizal berkata, ada beberapa mitos mengenai penyakit kayap antaranya jika jalur lingkaran kayap bertemu di tengah badan, pesakit boleh meninggal dunia.

Katanya, mitos perubatan itu tidak benar sama sekali dan boleh menakutkan pesakit.

"Selain itu, mitos kononnya ia hanya berlaku sekali sahaja kepada seseorang indvidu juga tidak benar kerana ia berisiko untuk berulang.

"Nasihat saya, pertimbang untuk dapatkan vaksin terutama jika anda berusia 50 tahun ke atas kerana vaksinasi cara paling efektif untuk mengurangkan risiko terkena penyakit itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 7:01 AM