TRAK pameran penyakit kayap kini memulakan siri penjelajahan di seluruh negara.
TRAK pameran penyakit kayap kini memulakan siri penjelajahan di seluruh negara.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Apabila seseorang mengatakan dirinya mengalami kayap, pasti ramai yang tertawa kerana ia dianggap lucu dan tidak serius.

Skeptikalnya, ramai menganggap penyakit kayap seperti rasa gatal pada tubuh dan bukanlah sesuatu yang perlu diperbesar-besarkan.

Sebenarnya, kayap ialah sejenis ruam menyakitkan, melemahkan tubuh dan meninggalkan kesan jangka panjang yang serius jika tidak dirawat segera.

Kayap atau nama saintifiknya Herpes zoster (HZ) adalah penyakit berpunca daripada pengaktifan semula virus Varicella zoster (VZ) yang menyebabkan cacar air.

Penyakit ruam melepuh yang biasanya diiringi derita kesakitan itu boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia atau bangsa.

Namun 95 peratus golongan dewasa berusia lebih 50 tahun berisiko tinggi untuk menghidap kayap jika pernah dijangkiti virus cacar air ketika usia muda.

Bagi kebanyakan pesakit, rasa sakit akibat ruam kayap semakin reda apabila ruam mula pulih, tetapi bagi sesetengah pesakit pula, ia boleh menyebabkan kesakitan saraf pada jangka masa panjang.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), seorang daripada tiga orang menghidap kayap dalam tempoh hayat mereka.

Begitupun, kesedaran mengenai penyakit kayap masih rendah di negara ini terutama dalam kalangan warga emas.

"Majoriti dalam kalangan kita tidak tahu bahawa kayap disebabkan pengaktifan semula virus Varicella zoster iaitu virus yang menyebabkan cacar air.

"Sesetengah daripada kita sangka bahawa kita 'kebal seumur hidup' selepas pulih daripada cacar air, tetapi sebenarnya tidak," ujar Pengarah Urusan MSD, Chris Tan.

Kini, trak pameran bergerak yang dianjurkan MSD memulakan siri penjelajahan di seluruh negara untuk menyebarkan maklumat mengenai penyakit itu.

Siri jelajah itu adalah sebahagian daripada kempen kesedaran kayap seluruh negara yang dianjurkan oleh MSD dan disokong Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia, Persatuan Dermatologi Malaysia, Persatuan Kajian Kesihatan Malaysia serta Persatuan Penuaan Sihat Malaysia.

Siri jelajah pameran ini merangkumi hampir 100 lokasi sibuk terutama sekitar Lembah Klang dan bandar utama di pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang, Ipoh, Alor Setar, Seremban, Melaka dan Johor Bahru.

Pelawat yang mengunjungi trak pameran itu berpeluang menggunakan kios maklumat interaktif yang direka untuk menguji pengetahuan mereka mengenai kayap di samping melihat panel maklumat berkaitan mitos dan fakta mengenai penyakit itu.

Pameran kembara ini juga mempamerkan testimoni pesakit dan menayangkan beberapa video pendidikan.

Tidak ketinggalan, pengunjung trak boleh bersama-sama menyemarakkan kempen ini dengan merakamkan sokongan mereka pada dinding ikrar yang dibina khas dalam trak itu.

Sempena kempen pendidikan kayap itu juga, laman sesawang mengenai penyakit terbabit (www.aboutshingles.my) diperkenalkan untuk memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan maklumat mengenainya.

Selain maklumat am mengenai penyakit ini dan kaitannya dengan cacar air, laman ini turut mengandungi fakta perubatan mengenai komplikasi penyakit, soalan yang kerap ditanya dan tip untuk memulakan perbualan dengan pakar kesihatan.

Pengunjung laman juga boleh menjalani penilaian risiko interaktif dengan menggunakan pengesan simptom kayap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:01 AM