PENGGUNA selalu lihat tanda harga dan label tarikh luput semasa membeli barang.
PENGGUNA selalu lihat tanda harga dan label tarikh luput semasa membeli barang.
AMATI kandungan nutrien sebelum membeli untuk mengetahui sesuatu produk itu sihat atau sebaliknya.
AMATI kandungan nutrien sebelum membeli untuk mengetahui sesuatu produk itu sihat atau sebaliknya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DUA perkara utama yang selalu menjadi keutamaan pengguna setiap kali mencapai barangan di rak pasar raya atau kedai runcit ialah tanda harga dan label tarikh luput.

Tujuannya untuk mengetahui harga dan memastikan barangan yang ingin dibeli itu belum tamat tempoh.

Namun, pengguna sering lupa untuk melihat kandungan nutrien yang terdapat dalam sesuatu produk.

Sebenarnya, ada beberapa perkara yang pengguna perlu dititikberatkan semasa membeli barangan untuk mengetahui produk dipilih sihat atau sebaliknya.

Pegawai Sains Pemakanan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Yen Nee berkata, terdapat lima komponen penting yang boleh dijadikan panduan oleh pengguna ketika membeli barangan.

Menurutnya, komponen pertama ialah logo Pilihan Lebih Sihat. Logo ini boleh didapati di bahagian hadapan bungkusan produk.

"Ia diwujudkan untuk membantu pengguna mengenal pasti produk yang lebih sihat dalam kategori sama.

"Contoh, pengguna hendak membeli susu berperisa, tetapi di rak dalam pasar raya ada banyak produk yang menyukarkan pengguna untuk membuat pilihan.

"Oleh itu, melalui logo Pilihan Lebih Sihat, logo ini dapat membantu pengguna membuat pilihan lebih tepat iaitu produk yang lebih sihat," katanya.

Tan berkata, terdapat dua warna logo Pilihan Lebih Sihat iaitu merah dan hitam.

Jelasnya, kelebihan kedua-dua logo adalah sama sahaja.

MAKANAN nutrien lengkap penting untuk kesejahteraan kesihatan.
MAKANAN nutrien lengkap penting untuk kesejahteraan kesihatan.

Bagaimanapun, perbezaan warna ini bertujuan membantu pihak industri membuat pelabelan produk mereka berdasarkan kandungan gula, lemak, serat dan sebagainya.

Menurutnya, komponen kedua ialah Ikon Tenaga yang membantu pengguna memahami jumlah tenaga (kcal) dalam satu sajian makanan yang disarankan dengan pantas.

"Melalui ikon ini juga, ia dapat memberikan gambaran awal berapa jumlah kalori yang kita ambil bagi satu hidangan.

"Contoh, setiap hidangan susu 200 mililiter (ml) mengandungi 130 kalori.

"Ini memudahkan kita mengetahui kalori yang diambil bagi setiap hidangan itu sebenarnya membekalkan 6.5 peratus berdasarkan 2,000 kalori bagi keperluan harian.

IKON Tenaga.
IKON Tenaga.

"Melalui maklumat ini, kita seterusnya dapat mengawal pengambilan kalori harian. Ini boleh mengelak daripada pengambilan jumlah kalori berlebihan daripada sepatutnya," katanya.

Kata Tan, komponen seterusnya ialah Akuan Pemakanan. Ia adalah apa-apa akuan yang dibuat pada label berhubung kualiti pemakanan.

Menurutnya, pihak industri boleh menggunakan Akuan Pemakanan yang memenuhi syarat tertentu pada label produk mereka seperti dinyatakan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Contoh, jika syarikat pengeluar produk makanan ingin membuat akuan fungsi pemakanan, mereka perlu mematuhi peraturan makanan yang berkaitan.

"Bagi nutrisi kalsium, syarikat boleh membuat akuan kalsium diperlukan untuk membantu pertumbuhan tulang dan gigi yang kuat, jika memenuhi syarat ditetapkan di bawah peraturan yang berkaitan," katanya.

AKUAN Pemakanan.
AKUAN Pemakanan.

Jelas Tan, komponen keempat adalah Panel Maklumat Pemakanan yang memberitahu pengguna mengenai kandungan nutrien bagi sesuatu produk untuk setiap 100ml dan setiap hidangan 200ml.

"Maklumat lain pada panel ini adalah saiz hidangan yang dicadangkan bagi produk berkenaan dan jumlah hidangan terdapat dalam produk itu.

"Panel Maklumat Pemakanan ini menjelaskan jenis nutrien yang terkandung di dalam produk berkenaan mengikut setiap 100 gram (g) atau 100ml dan setiap hidangan.

"Menggunakan maklumat daripada kolum setiap hidangan, ini membolehkan pengguna mengetahui jumlah kalori atau nilai nutrien yang mereka ambil mengikut saranan seperti dinyatakan, iaitu saiz hidangan 200ml," katanya.

Katanya, selain itu, maklumat lain yang boleh diperoleh ialah jenis dan jumlah nutrien terkandung dalam produk bagi setiap 100g atau 100ml.

PANEL Maklumat Pemakanan.
PANEL Maklumat Pemakanan.

"Contoh, maklumat ini membolehkan pengguna membuat perbandingan bagi nilai kandungan kalsium yang lebih tinggi di antara produk sama jenis, berbeza jenama.

"Ini boleh menjadi panduan kepada pengguna untuk memilih makanan sihat terutama dalam kalangan pesakit kronik.

"Sekiranya, pesakit kencing manis ingin memilih produk kurang gula, mereka boleh membuat perbandingan produk daripada jenama berlainan, berpandukan kolum setiap 100g atau 100ml pada panel maklumat pemakanan," katanya.

Beliau berkata, komponen terakhir ialah Senarai Ramuan yang menjelaskan jenis ramuan dalam produk berkenaan.

"Ini membantu pengguna memahami kandungan bahan sesuatu produk.

SENARAI Ramuan.
SENARAI Ramuan.

"Melalui komponen ini, kita boleh melihat susunan ramuan bahan yang digunakan dalam penghasilan sesuatu produk.

"Ramuan pertama ditulis dalam senarai ramuan yang membawa maksud ia adalah bahan utama iaitu paling banyak digunakan dalam membuat produk berkenaan berbanding ramuan di belakangnya.

"Contoh, pepejal susu adalah ramuan utama yang digunakan untuk menghasilkan produk ini, diikuti ramuan seterusnya serbuk koko, gula, mineral, bahan perisa, penstabil, bahan pewarna dan bahan pemanis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 6:20 AM