TENGKU Zafrul bersama Mistika (tiga dari kanan) dan peserta yang hadir ketika YEF 2022 di Sasana Kijang, Bank Negara. - Gambar NSTP/HAZREEN MOHAMAD
TENGKU Zafrul bersama Mistika (tiga dari kanan) dan peserta yang hadir ketika YEF 2022 di Sasana Kijang, Bank Negara. - Gambar NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Mahaizura Abd Malik

PEMULIHAN ekonomi Malaysia berada di landasan betul berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi yang semakin positif.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia meraih buat tiga kali berturut-turut pertumbuhan ekonomi yang positif sejak suku keempat tahun 2021.

"Saya yakin ekonomi kita kini berada pada tahap yang lebih kukuh berbanding ketika kemuncak Covid-19 melanda negara.

"Kita melihat ini hasil daripada dasar ekonomi serta pengurusan fiskal yang dilakukan sejak bermulanya Covid-19.

"Tindakan kita bukan sahaja menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, malah ia melindungi perniagaan sepanjang lebih dua tahun lalu dan membolehkan kita membina daya tahan yang lebih besar dalam ekonomi untuk menghadapi cabaran masa depan terutamanya prospek global yang suram untuk tahun 2023," katanya pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2022 di sini, baru-baru ini.

Beliau mengakui ketangkasan, daya tahan dan impak mempunyai kaitan dengan pembinaan negara.

"Kerajaan mesti tangkas, bagi saya itu bermakna mereka mesti responsif kepada keperluan rakyat dan kepada perubahan dalam landskap operasi global dan domestik.

"Sepanjang pandemik Covid-19 dan sehingga kini, kita bertindak balas melindungi nyawa dan mata pencarian, bukan saja dengan pantas, tetapi cekap.

"Ini mesti dilengkapi dengan keperluan untuk menjadi bertanggungjawab yang akan membina daya tahan ekonomi negara kita contohnya memastikan fiskal negara diurus dengan betul.

"Selain itu, pembinaan negara yang positif wajib ada kesan. Bagi saya, disitulah datangnya reformis, lebih penting kerana jika tidak ia akan menjejaskan Malaysia. Contohnya walaupun bilangan pekerjaan bertambah baik, namun isu seperti kurang pekerjaan dan pengangguran belia mesti ditangani," katanya.

Katanya, pembaharuan dan pembangunan negara memerlukan disiplin dan keazaman tinggi serta menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya generasi muda untuk merealisasikannya.

"Kita mesti memulihkan kestabilan untuk menarik dan mengembalikan kilauan Malaysia di mata pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa," katanya.

Peranan anak muda terhadap perubahan dasar

Forum Ekonomi Belia (YEF) 2022 menjadi platform kepada golongan anak muda di negara ini menyuarakan pandangan dan berkongsi idea dalam membawa perubahan dan memacu pembangunan negara.

Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana Mistika Idris berkata, suara golongan belia penting didengari dalam memacu kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara.

"Kemampanan ekonomi dipengaruhi beberapa isu sosial dan kita perlu lihat sama ada ia memberi kesan kepada ekonomi kita.

"Kadang-kadang anak muda tidak sedar mereka sebenarnya boleh memberi impak kepada perubahan dasar pada masa hadapan.

"Justeru, program ini menjadi platform memperkasakan semua anak muda untuk menyuarakan pandangan serta berkongsi idea daripada panel berpengalaman dalam pelbagai bidang," katanya sempena YEF 2022 bertemakan Mengemudi haluan positif dalam pembinaan negara menerusi ketangkasan, daya tahan dan impak di Sasana Kijang di sini, baru-baru ini.

Katanya, golongan muda di negara ini tidak boleh duduk diam sebaliknya perlu bertindak melakukan sesuatu bagi membantu Malaysia yang masih dalam fasa pemulihan Covid-19.

"Kita mahu golongan anak muda di negara ini sedar dalam fasa pemulihan daripada Covid-19 ini bahawa banyak perkara boleh dilakukan.

"Contohnya, apabila mereka sedar aspek kemampanan itu penting ia akan menjadi penggerak mereka bersama rakan, pada masa forum ini membuat langkah perubahan yang difikirkan perlu untuk Malaysia.

"Perubahan yang kita inginkan mungkin tidak datang hari ini, esok atau pun dalam hidup kita tetapi apa saja yang kita lakukan, ia harus sentiasa dengan semangat, ketabahan, disiplin dan usaha," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersama YEF 2022 Wei Min Jue berkata, daya tahan adalah kunci penting dalam menghadapi cabaran utama dunia seperti pandemik, inflasi, perubahan iklim dan gangguan sosial yang disebabkan pendigitalan dan perubahan landskap pekerjaan.

"Antara perkara paling penting kita mahu ketengahkan ialah bagaimana membina semula kemampanan yang terjejas disebabkan pandemik.

"Jadi, fokusnya ialah kemampanan, tetapi di sebalik itu kita turut memberikan semua nilai yang diperlukan untuk membangunkan belia Malaysia.

"Ini termasuk membincangkan aspek pendidikan, digital, perniagaan, ekonomi serta politik," katanya.

Dinspirasikan daripada Forum Ekonomi Dunia, YEF 2022 menghimpunkan lebih 500 belia daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu semasa bersama pakar bertauliah dan seterusnya melahirkan cadangan serta pandangan bernas untuk pembangunan dan pemulihan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 1:27 PM