JC Stewart teringin bekerjasama dengan BTS.
JC Stewart teringin bekerjasama dengan BTS.
Georgie Joseph


LAGU Lying That You Love Me nyanyian JC Stewart tidak mampu disangkal kerana melodi yang begitu indah dan liriknya terus menusuk ke jiwa. Ia sekali gus membuktikan penyanyi baharu dari United Kingdom itu ada penjiwaan luar biasa dalam karyanya.

Namun begitu, JC, 23, berkata dia sebenarnya tidak menyangka lagu berkenaan meninggalkan impak dalam karier muziknya. Apalagi dia sendiri berasa ada lagu lain yang berpotensi pergi jauh.

Bagaimanapun, terbukti cita rasa pendengar sukar diduga. Oleh itu, dia menyifatkan rezekinya menerusi lagu itu membuka langkahnya untuk terus menampilkan karya tanpa menetapkan sebarang harapan besar.

"Saya memang tidak sangka lagu Lying That You Love Me mendapat reaksi luar biasa. Saya diberitahu, ia sangat disukai di Asia dan saya tidak pernah menjangka ia benar-benar berlaku memandangkan ini lagu lama yang saya tulis tiga tahun lalu.

"Saya mendapat mesej setiap hari termasuk di YouTube mahupun TikTok mengenai lagu terbabit. Mendapat tahu reaksi orang mengenai lagu saya sememangnya satu pencapaian yang sangat menyeronokkan," katanya.

Dalam pada seronok mempromosikan muziknya, keriangan JC terbantut selepas pandemik Covid-19 melanda sejak awal tahun ini. Dia akui terbit rasa sedih, apalagi dugaan itu hadir sewaktu dia membara mengejar impiannya sebagai penyanyi.

Namun, terbukti semua yang berlaku ada hikmahnya. Baginya, dia belajar banyak perkara indah sepanjang tempoh pandemik ini yang tidak mungkin dapat alami dalam kesibukan kariernya.

"Impian saya menjadi artis, tentu sekali untuk dapat menjelajah dunia bagi mempromosikan muzik saya, buat persembahan dan berjumpa peminat. Apa-apa pun, saya bersyukur dapat memanfaatkan masa sepanjang pandemik ini bersama keluarga.

"Saya juga dapat meluangkan masa untuk menikmati keindahan kampung halaman pada tempoh itu. Tidak ketinggalan, saya dapat eratkan lagi hubungan dengan rakan yang lama tak berjumpa.

"Ia sukar tapi indah pada masa yang sama. Itulah hakikat yang perlu kita telan, saya rasa lebih banyak perkara baik yang terjadi pada masa sekarang," katanya.

Baru setahun jagung dalam industri, JC mendedahkan tidak pernah terlintas di benaknya sewaktu kecil dulu ingin menjadi penyanyi. Bagaimanapun, minatnya semakin jelas selepas mula berkecimpung mencipta lagu pada usia 15 tahun.

"Saya memang suka menyanyi sejak kecil, namun tidak pernah terfikir mahu menjadi penyanyi. Pada usia 10 tahun, bergelar penyanyi mungkin tidak sehebat menjadi pemain bola sepak dan saya lebih terarah kepada sukan.

"Ia berlaku tanpa sengaja dan saya sangat bersyukur bertemu bidang yang saya cintai. Saya tulis lagu pertama pada usia 15 tahun dan sejak itu terus buat lagu. Saya bertuah, akhirnya berjaya sampai ke tahap sekarang," katanya.

Berkongsi mengenai corak penulisan lagu, JC tidak mahu menekan diri untuk terlalu memikirkan elemen artistik berat dalam karyanya. Baginya, apa yang dilalui dalam hidup dijadikan panduan untuk mencetus idea supaya penceritaannya lebih telus.

"Proses kreatif saya memang berubah drastik setiap masa. Setiap kali, mula bermain muzik dan menyanyi, saya nyanyikan mana-mana lagu secara rawak. Kemudian, saya akan buat improvisasi terhadapnya sehingga timbul idea menulis.

"Bagi saya, penulisan lagu mengenai pengalaman hidup sentiasa menjadi proses kerana itu lebih istimewa. Sebagai manusia yang penuh angan-angan, kita mahu mencapai ke satu tahap paling diimpikan selama ini.

"Begitulah juga dengan kehidupan. Saya mahu kongsikan banyak perkara kegembiraan, hubungan dengan kekasih dan lainnya dalam lagu saya. Saya sangat terbuka untuk bercerita mengenai diri saya," katanya.

Dalam pada itu, JC juga tidak segan menamakan bintang K-Pop fenomena, BTS sebagai artis yang dia teringin untuk bekerjasama. Baginya, kumpulan itu memiliki pesona tersendiri yang membuatkan dirinya terlalu obses.

"Saya teringin bekerjasama dengan BTS, Calvin Harris, Beyonce dan ramai lagi. Tapi buat masa sekarang, paling teruja jika dapat realisasikan kerjasama bersama BTS dan ia pastinya impian jadi kenyataan jika berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:08 AM