MUHAMMAD Muttaqin bergambar di lokasi air terjun yang ditawannya.
MUHAMMAD Muttaqin bergambar di lokasi air terjun yang ditawannya.
Muhamaad Razis Ismail


Pada mulanya eksplorasi air terjun dilakukan sekadar mengisi masa lapang dan aktiviti beriadah bersama rakan-rakan.

Bagaimanapun aktiviti rekreasi itu mula menjadi rutin bagi Muhammad Muttaqin Ahmad Razman, 25, untuk memburu air terjun di sekitar negara ini pada setiap minggu.

Kini Muhammad Muttaqin sudah berjaya meneroka 106 air terjun di sekitar Semenanjung Malaysia sejak tahun 2018.

Anak jati, Ipoh, Perak ini dalam misi untuk menambah koleksi sehingga 200 air terjun.

Muhammad Muttaqin berkata, seawal tahun 2018, dia sudah memulakan eksplorasi air terjun yang pertama sebelum pada 2021, timbul idea untuk melengkapkan koleksi sehingga 100 air terjun di negara ini.

"Saya boleh katakan, 2022 dan 2023 adalah tahun yang paling aktif kerana setiap minggu adalah 'hari' untuk memburu air terjun.

"Air terjun yang diburu tidaklah terhad di Perak semata-mata. Malah saya turut ke hampir semua negeri untuk mencari air terjun," katanya.

Menurutnya, aktiviti itu dapat meluaskan rangkaian kenalan, di samping mengekalkan kecergasan badan.

"Saya juga merasa sangat tenang dan dekat dengan alam apabila pergi memburu air terjun.

"Sedar atau tidak, perkara ini lebih mendekatkan lagi diri kita dengan Tuhan dan menyedarkan diri bahawa kita semua hanyalah makhluk yang kerdil serta tidak mempunyai kuasa apa-apa.

Jelasnya, air terjun yang diburu tidak mempunyai kriteria yang spesifik.

"Asalkan air terjun melebihi ketinggian tiga meter, ia sudah memadai untuk dikira sebagai air terjun," katanya.

Baginya, lokasi paling menarik sepanjang eksplorasi memburu air terjun adalah di Sungai Belanga, Terengganu.

"Sungai ini memiliki semua ciri yang dicari iaitu kolam yang dalam dan jernih, air terjun yang tinggi, sungai yang tidak lebar dan memiliki arus yang perlahan. Perjalanan ke sana juga tidak mengambil masa yang begitu lama," katanya.

Menurutnya, untuk melakukan aktiviti eksplorasi air terjun, dia tidak mempunyai sebarang latihan spesifik memandangkan sudah aktif dalam dunia pendakian sejak 2018.

"Saya cuma perlu bersedia dari segi kewangan kerana mana-mana ekspedisi yang ingin dilakukan semestinya memerlukan kos.

"Selain itu, dalam apa jua ekspedisi, semestinya saya menyiapkan peralatan yang wajib seperti peta, parang, mercun dan bekalan makanan. Ini semua penting demi kelancaran perjalanan dan meminimumkan risiko yang mungkin akan dihadapi," katanya.

Muhammad Muttaqin berkata, antara cabaran yang dihadapi ialah kebanyakan lokasi air terjun di kawasan hutan menjadi habitat haiwan liar dan buas.

"Oleh itu, saya perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dengan sentiasa mengutamakan keselamatan diri," katanya.

Selain itu, ada antara air terjun yang diteroka terletak di dalam kawasan Orang Asli yang memerlukan kebenaran Tok Batin di kampung itu.

"Ada sesetengah Tok Batin yang membenarkan dan ada juga yang melarang kami meneroka sungai di kampung mereka. Kadang-kadang, kami terpaksa pulang dengan tangan kosong atau mengubah rancangan," katanya.

Tambahnya, sepanjang terbabit dengan aktiviti eksplorasi air terjun banyak kenangan pahit dan manis dicipta.

"Antaranya yang menjadi ingatan adalah apabila berjaya melengkapkan misi menawan air terjun yang ke-100 di Simpang Pulai, Perak.

"Lebih-lebih lagi, pada ketika itu, rakan-rakan rapat saya semuanya hadir demi membantu dan memeriahkan eksplorasi itu," katanya.

Baginya, bukan semua eksplorasi yang dijalankan membuahkan hasil kerana pernah gagal menemui sebarang air terjun

"Walaupun sudah lebih 10 kali kejadian itu berlaku, namun saya tidak pernah serik kerana menganggap itu sebagai lumrah eksplorasi," katanya.

Bagi yang ingin menjadi pemburu air terjun, Muhammad Muttaqin menasihatkan mereka supaya memahirkan diri terlebih dahulu dengan segala ilmu yang diperlukan termasuk kemahiran navigasi, pengetahuan berkenaan haiwan dan kemahiran ikhtiar hidup.

"Langkah ini penting supaya risiko bahaya dan musibah di hutan dapat dikurangkan seminimum mungkin. Jadilah pendaki yang bijak dan menjaga alam sekitar, bukan pendaki yang sekadar mengikut trend di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 12:15 PM