Oleh Noor Hidayah Tanzizi


SEMANGAT patriotisme sempena bulan kemerdekaan diterjemahkan tiga pelukis Persatuan Teraju Seni Daerah Kinta dengan menghasilkan mural simbolik keharmonian negara di Jalan Pasar, Slim River.

Hasil seni yang bersaiz 21.3 meter panjang dan 3.04 meter tinggi itu turut dijayakan 20 sukarelawan Puteri Umno petang semalam.

Pelukis, Mashitah Nor Sabaruddin, 37, berkata mural mengambarkan tiga kanak-kanak sebagai simbolik Melayu, Cina dan India, tulisan Slim River dan Jalur Gemilang berbentuk rama-rama, sekali gus menjadikan lokasi itu sebagai tarikan baharu di Slim River.

"Mural bercirikan interaktif tetapi kami mahu ia terus kekal relevan, tidak hanya semata-mata untuk menggambarkan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-63, supaya ia boleh dijadikan lokasi bergambar sepanjang masa.

Mashitah mengecat lukisan mural Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan di dinding belakang rumah kedai di Jalan Pasar, Slim River. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Mashitah mengecat lukisan mural Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan di dinding belakang rumah kedai di Jalan Pasar, Slim River. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

"Lukisan ini melambangkan perpaduan dan kepelbagaian manakala pemilihan warna berteraskan empat warna bendera negara serta tambahan hitam dan perak yang turut melambangkan keharmonian," katanya ketika ditemui hari ini.

Mashitah berkata, setiap tahun mereka tidak melepaskan peluang melukis mural bertemakan kemerdekaan dan menganggap lukisan itu sebagai caranya menyemarakkan semangat patriotik kepada masyarakat setempat.

Katanya, lukisan yang mengambil masa lebih sehari untuk disiapkan dan mampu bertahan lebih lima tahun.

"Saya gembira dapat berkarya seperti ini, dapat berkongsi semangat cintakan negara kepada orang lain melalui seni kerana seni dekat dengan masyarakat," katanya yang menyiapkan mural itu petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 6:23 PM