TREK  atau laluan berbasikal di Tanjung Malim berlatar belakangkan alam semula jadi.
TREK atau laluan berbasikal di Tanjung Malim berlatar belakangkan alam semula jadi.
Wan Asrudi Wan Hasan


Tidak dinafikan sukan berbasikal menjadi trend makin diminati dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Pelbagai jenis basikal seperti basikal bukit (mountain bike), basikal lipat (folding), basikal lumba (road bike), basikal elektrik dan sebagainya digunakan.

Selain aktiviti riadah ia juga dapat menjalin hubungan silaturahim dalam kalangan penunggang basikal selain dapat mengenali lokasi baharu, jenis makanan, budaya dan tempat-tempat menarik yang dituju.

Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti Program Familiarization Trip (FamTrip) anjuran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena pelancaran Ekspres Koc Basikal (XKB).

Seawal 6 pagi peserta terdiri daripada wakil media, Tourism Malaysia, syarikat swasta, wakil kelab basikal dan jemputan khas berkumpulan di Stesen Keretapi Kuala Lumpur mula mendaftar seterusnya melakukan persediaan memuatkan basikal masing-masing ke XKB yang disediakan khas.

Satu gerabak XKB yang diubah suai dari koc tempat duduk itu mampu memuatkan 60 basikal dengan KTMB menyediakan kemudahan itu berdasarkan sewaan khas.

Bagi memudahkan peserta beragama Islam salah satu daripada koc ditempatkan ruang solat dan menjadi lokasi ruang santai bagi peserta untuk berehat.

Turut disediakan bagi koc sewaan khas terbabit adalah koc persidangan, koc selun khas dan koc bufet dengan setiap koc berkenaan mempunyai kemudahan berbeza.

Tren bertolak 6.40 pagi dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim dengan masa perjalanan membabitkan satu jam 40 minit.

Sebaik tiba di Stesen Tanjung Malim peserta melakukan persiapan menurunkan basikal seterusnya berada di kawasan pelepasan bagi menyertai aktiviti kayuhan sejuh 49 kilometer sekitar daerah itu.

Kayuhan selama kira-kira lebih empat jam itu membabitkan laluan Sungai Bil-Behrang Ulu-Sungai Dara-Sungai Bil sebelum kembali semula ke Stesen Tanjung Malim.

Program itu turut mendapat kerjasama Kelab Berbasikal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kira-kira 150 peserta menyertai kayuhan santai itu. Turut mengetuai kayuhan itu Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Disamping menikmati pemandangan sekitar pekan Tanjung Malim yang cukup dikenali sebagai bandar pendidikan dengan adanya UPSI, peserta kayuhan yang terdiri daripada golongan remaja, belia dan warga emas turut berkayuh dalam suasana ceria.

Peserta diiringi dengan kenderaan bantuan dan sepasukan pengawal lalu lintas termasuk anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan ketika menyertai aktiviti terbabit.

Sepanjang kayuhan peserta diuji dengan laluan landai dan berbukti ditambah pula keadaan cuaca panas terik yang boleh mencecah hingga 30 darjah Celsius ketika di penghujung kayuhan.

Peluang berkayuh dalam keadaan udara segar kawasan kampung dengan laluan kiri dan kanan dipenuhi dusun buah-buahan terutamanya pokok durian ketika melalui kawasan Sungai Dara ke Sungai Bil memberikan kepuasan kepada peserta yang mahukan kedamaian serta jauh dari hiruk pikuk suasana di ibu kota.

KOC khas menempatkan basikal peserta program Familiarization Trip Ekspres Koc Basikal (XKB).
KOC khas menempatkan basikal peserta program Familiarization Trip Ekspres Koc Basikal (XKB).

Apabila bertanya kepada salah seorang penduduk Tanjung Malim yang turut menyertai program itu mereka memaklumkan nasib belum tiba musim durian jika tidak kawasan itu dipenuhi dengan penjual durian.

Di samping tarikan di kawasan perkelahan di Sungai Bil sudah tentu kuih pau Tanjung Malim menjadi buah mulut masyarakat disebabkan keenakannya.

Di sepanjang kayuhan peserta juga beberapa kali berhenti rehat di beberapa tempat yang dikhaskan selain bagi mengumpulkan kembali kesemua peserta untuk memudahkan pergerakan konvoi itu.

Hampir semua berjaya menamatkan kayuhan sekalipun ada yang berdepan masalah teknikal termasuk tayar pancit namun ia berjaya diatasi dengan pengalaman peserta yang berhadapan situasi seperti itu selain bantuan pasukan teknikal yang pantas mengawal keadaan.

Tiba di garisan penamat peserta disambut meriah dan dikalungkan cenderahati yang disediakan khas KTMB kerana berjaya menamatkan kayuhan.

Program berkenaan ternyata mendapat maklum balas pelbagai daripada peminat aktiviti berbasikal. Bagi 'admin' Facebook MyKayuh, Mohd Kharbi Mominini, 53, dari Hulu Klang yang menyertai program itu bersama anak perempuannya, Aunifirdhana, 14, menyambut baik perkhidmatan yang disediakan KTMB.

Menurut Mohd Kharbi, sebelum dilancarkan lagi perkhidmatan berkenaan sudah mengundang pelbagai pertanyaan dalam kalangan peminat berbasikal.

"Memang kita nanti-nantikan, ramai yang tanya mengenai perkhidmatan ini. Saya gembira dengan perkhidmatan yang disediakan KTMB ini," katanya.

Manakala wakil Youtube - Geng Basikal Lipat, Mohammad Jazlan Nangar, 34, yang mula berkecimpung dalam sukan berbasikal sejak 2014 berkata, trend basikal lipat makin mendapat tempat dengan kemunculan pelbagai kumpulan basikal lipat.

Menurutnya, perkhidmatan XKB yang diperkenalkan KTMB bertepatan dengan permintaan masa kini.

"Kumpulan berbasikal akan berkayuh dalam jumlah yang ramai dan kadang-kala mencecah lebih 30 orang.

"Justeru perkhidmatan ini memberi peluang kepada peminat basikal meneroka destinasi yang lebih jauh sambil menaiki kereta api. Sebelum ini, kami sering membawa basikal menaiki tren dengan ruang yang disediakan agak terhad di gerabak belakang atau bahagian hujung.

"Kadang-kala ia agak mengganggu penumpang lain. Jadi perkhidmatan yang diperkenalkan KTMB ini sangat pertepatan dengan permintaan pelanggan dan keperluan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 7:00 AM