PESERTA memerah keringat berkayuh sepanjang 60 kilometer.
PESERTA memerah keringat berkayuh sepanjang 60 kilometer.
Oleh Asrizal Aris

Kampar, Perak sebuah daerah kecil yang terkenal dengan perusahaan perlombongan bijih timah terbesar satu masa dahulu.

Selain pekan kecil yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, Kampar yang bebas daripada kesesakan jalan raya menjadi pilihan segelintir peminat sukan berbasikal berkayuh pada hujung minggu.

Hotel Grand Kampar sekali lagi memilih daerah ini untuk dijadikan trek dan laluan bagi cabaran berbasikal sejauh 60 kilometer melalui program Kampar Majesty Ride 2015 dengan kerjasama Kelab Berbasikal Kampar, baru-baru ini.

Trek panjang yang perlu ditempuh semua peserta bermula di pekarangan Hotel Grand Kampar menuju ke Temoh-Sungai Lesong-Mambang Diawan-Tronoh Mines-Tanjung Tualang dan kembali semula ke hotel untuk garisan penamat.

Program kayuhan basikal yang berkonsepkan bersukan sambil beramal itu, mewujudkan suasana yang unik selepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada lebih 400 peserta pelbagai kaum serta peringkat usia.

Penganjuran kali ketiga ini masih menetapkan konsep yang sama iaitu penyertaan bebas bagi semua jenis basikal tidak kira basikal gunung, basikal lipat, basikal kembar mahupun basikal tua.

Pengurus operasi hotel Leroy Tan berkata, program berbasikal berkonsepkan bersukan sambil beramal itu adalah sambungan program yang dianjurkan tahun lalu dan bakal menemui peserta pada setiap tahun selepas melihat penyertaan yang sangat menggalakkan.

“Pada mulanya kami hanya merancang program untuk ber­amal iaitu RM10 daripada yuran penyertaan setiap peserta akan disalurkan kepada badan amal. Namun selepas melihat penyertaan yang sangat menggalakkan pada tahun ini berbanding tahun lalu, saya akan jadikan program ini sebagai acara tahunan.

“Kami dari pihak penganjuran juga sebenarnya teruja dengan sambutan masyarakat setempat meskipun program ini bukan berbentuk pertandingan dan hanya berkayuh santai sepanjang 60 kilometer,” katanya yang juga pengurus program.

Menurutnya, bahagian pengurusan menitikberatkan aspek keselamatan terutama peserta yang sudah berusia, kanak-kanak dan wanita. Program kayuhan jarak jauh itu akhirnya berjalan lancar meskipun ramai peserta yang tertinggal di belakang.

“Kebanyakan peserta adalah ahli kelab sukan basikal, namun pada juga peserta dalam kalangan orang awam dan tanggungjawab kami untuk mengutamakan keselamatan mereka yang kurang memahami langkah yang perlu diambil ketika berbasikal.

“Bagi program akan datang kami dari pihak pengurusan akan memperbaiki setiap kekurangan pada program kali ini dan mengharapkan maklum balas daripada peserta menerusi laman web atau Facebook program,” katanya.

Peserta dari Kelab Sukan Majlis Daerah Kampar, Mohd Ashhar Amin, 43, berkata penganjuran program kayuhan kali ini sangat teliti dan tersusun rapi dari segi pendaftaran serta penyediaan kemudahan peserta sebelum kayuhan bermula.

“Penganjur menyediakan laman web khas untuk peserta dan segala informasi diberitahu melalui laman web berkenaan. Selain itu, kemudahan seperti penginapan hotel dan bekalan kameja-T turut dititikberatkan kepada peserta.

“Laluan yang dipilih juga sangat bersesuaian. Meskipun jarak adalah panjang tetapi tidak banyak melalui kawasan berbukit atau yang berlopak demi keselamatan orang awam terutama bagi warga emas.

“Bagaimanapun faktor usia bukan penghalang. Kalau sudah peminat sukan basikal, tua macam mana pun semuanya berjaya habiskan kayuhan, namun faktor keselamatan tetap perlu diambil kira,” katanya.

Menurutnya, bagi program akan datang dia berharap penganjur akan mengetatkan lagi aspek keselamatan kerana jarak kayuhan yang panjang dengan peserta yang terlalu ramai boleh menyebabkan peserta mudah terdedah dengan bahaya.

Peserta dari Kelab Berbasikal Kampar (KCC), Kelly Jesslyne, 34, berkata meskipun jarak kayuhan panjang, keletihan tidak dirasai kerana ia santai dan dapat berkenalan dengan ahli kelab basikal yang lain.

“Program ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan, malah memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara peserta. Contohnya, peserta yang kerosakan basikal dibantu oleh peserta lain yang lebih mahir.

“Selain itu, trek kayuhan yang melalui lombong dan taman yang indah membuat kami berhenti seketika untuk ‘berselfie’ bersama sebagai kenangan,” katanya.

Menurutnya dia bersama kelab basikalnya akan bekerjasama sekali lagi untuk menjayakan program yang akan diadakan tahun hadapan bagi penganjuran kali keempat.

Peserta, Stepphrnie Davina, 22, berkata dia kali pertama menyertaI program itu dan teruja melihat penyertaan pelbagai kaum yang sangat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Saya mula minat berbasikal selepas setahun berada di Universiti Tunku Abdul Rahman, di sini, dan sering berbasikal pada waktu petang. Saya tak sangka ramai orang Kampar meminati sukan basikal selepas menyertai program ini.

“Penyertaan sangat menggalakkan hinggakan ada peserta cacat penglihatan turut berkayuh dengan dibantu rakannya dengan menaiki basikal kembar. Ini kali pertama saya menyertai program kayuhan yang begitu ramai peserta seperti ini,” katanya.

Menurutnya, program seperti itu wajar diadakan bagi memupuk belia lebih mendekati sukan dan aktiviti sihat daripada membuang masa di pusat komputer dengan permainan atas talian yang menjadi kegilaan remaja kini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:00 AM