TEMA santai.
TEMA santai.
Aniza Zainudin

SYURGA makanan, frasa yang sering digunakan menggambarkan tarikan tersendiri bagi satu-satu destinasi yang menyajikan kepelbagaian makanan.

Malah, Malaysia juga sinonim dengan frasa ini berikutan setiap bangsa dan etnik tempatan memiliki keunikan makanan masing-masing hingga menjadi daya tarikan pelancong.

Satu daripada bukti kepada kenyataan ini termasuk penganjuran Cyberjaya Makan Best Fest 2019 (CMBF2019) oleh FriedChillies, baru-baru ini di Rekascape Cyberjaya berjaya menarik kunjungan 3,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Mohd Adly Rizal Mohd Din berkata, penganjuran pesta makanan itu menjadi satu keunikan kepada pengunjung untuk datang ke Cyberjaya.

“Ada 15 gerai makanan jenis ‘pop-up’ yang menyajikan variasi hidangan lazat di Lembah Klang dan luar ibu kota dibawakan khas untuk pengunjung.

“Makanan dibawa pastinya terbukti lazat dan berkualiti, kami melihat festival ini sebagai platform tepat buat komuniti berhimpun, berkomunikasi, meraikan dan menikmati makanan enak pada harga berpatutan bersama keluarga serta teman.

“Selain meraikan keunikan makanan Malaysia, kami juga ingin mempromosikan Cyberjaya sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pilihan makanan enak.

“Menerusi kerjasama dengan usahawan tempatan dalam CMBF2019, kami ingin mendedahkan wujudnya permintaan tinggi di Cyberjaya dan mungkin peniaga ini boleh mengembangkan perniagaan mereka di sini.

MAKANAN tarikan pelancong.
MAKANAN tarikan pelancong.

“Bagi melancarkan urusan jual beli, kami turut memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, peniaga Karipap Mutiara, Norazlin Sulaiman Phuh mengakui CMBF2019 adalah festival makanan kali pertama disertai di Lembah Klang.

Beroperasi di Pulau Pinang sejak 15 tahun lalu, wanita ini berkata, pihaknya menyertai festival makanan berkenaan kerana ingin melihat sendiri potensi perniagaan di Lembah Klang.

“Saya tidak menyangka Karipap Mutiara mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung.

“Situasi ini membuatkan saya rasa berbaloi bersama-sama menyokong CMBF2019.

“Kelainan produk kami adalah ia dibuat segar di depan pelanggan bermula proses menguli tepung hingga karipap dihidangkan,” ceritanya.

Pengunjung, Nurul Hidayah Mohamad Raduan memandu ke Cyberjaya dari Seri Kembangan bersama suami dan anak semata-mata ingin menikmati hidangan makanan lazat dalam festival makanan itu.

Terlihat promosi iklan menerusi laman sosial, wanita berusia 29 tahun ini tertarik untuk mencuba ‘brisket’ daging Beard Brothers BBQ.

Jarang berkunjung ke Cyberjaya yang disifatkan ‘terasing,’ Nurul Hidayah mengakui elemen makanan adalah satu daripada faktor penting untuk mempromosikan satu-satu lokasi.

Antara pengisian menarik program ini termasuk Kuih Lejen yang menampilkan pakar industri pembuatan kuih tradisional, Masterclass iaitu kelas pembuatan kuih secara percuma dan diskusi perniagaan.

VARIASI kuih-muih tradisional.
VARIASI kuih-muih tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 11:21 AM