PENGERUSI FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin (tiga dari kiri) melancarkan program MBB.
PENGERUSI FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin (tiga dari kiri) melancarkan program MBB.
Mohamad Hussin

Malaysia dikurniakan dengan kepelbagaian hasil pertanian, kekayaan budaya serta keunikan tradisi negeri.

Ia membentuk satu ‘Empayar Makanan’ yang diwariskan dari generasi ke generasi mengikut cita rasa seluruh masyarakat negara ini.

Himpunan juadah ini sama ada yang biasa, yang popular mahupun yang eksotik akan dihidangkan untuk pengunjung sempena Program Gelombang Nelayan Nasional 2017 (GNN 2017) di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu selama tiga hari mulai semalam.

Orang ramai berpeluang menikmati lebih 88 sajian makanan popular dari seluruh negara apabila berkunjung ke GNN 2017 yang bertemakan ‘Memperkasakan Masyarakat Nelayan Dalam Membangunkan Kehidupan’.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mengadakan program MyBest Buy (MBB) yang berkonsepkan platform pertemuan nelayan dengan pengguna pada harga produk yang paling minimum.

Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 10 (NBOS 10) MBB yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani kesan kenaikan kos sara hidup. Matlamat utama program ini bagi mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui penawaran produk hasil pertanian dengan harga berpatutan dan kompetitif.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Omar berkata, pihaknya menampilkan lapan kluster antaranya pameran, industri asas tani (IAT), buah-buahan, empayar makanan, pameran Mobile Community Transformation Centre (Mobile CTC), medan karavan, pasarina dan MBB segar.

Beliau berkata, konsep MBB yang dibangunkan seperti tumpuan produk jualan membabitkan produk basah seperi sayur, buah dan ikan serta produk kering seperti barangan runcit dan industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, jualan harga yang berpatutan dengan potongan antara lima hingga 20 peratus bagi barangan segar dan basah seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan.

“Antara produk MBB ialah buah-buahan seperti tembikai, nanas, rambutan, jagung, labu manis, duku, nangka, jambu batu, cempedak dan pisang goreng Sabah.

“Manakala tanaman jangka pendek yang dipasarkan seperti ulam-ulaman dan sayur kampung, kelapa muda dan tua, kacang panjang, terung mini, cili api, keledek, kobis dan tomato.

“Produk IAT pula menampilkan produk seperti minuman The Hijra, cendol, rempeyek, karipap sejuk beku, keropok lekor, sata, pau dan ketupat palas,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat FAMA di Bandar Baru Selayang, baru-baru ini.

Mansor berkata, pihaknya turut menampilkan Empayar Makanan kesinambungan penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017).

MANSOR menunjukkan risalah Empayar Makanan sempena GNN 2017.
MANSOR menunjukkan risalah Empayar Makanan sempena GNN 2017.

“Kita akan menampilkan lebih 88 jenis makanan pelbagai negeri bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati hidangan yang disukai dengan tawaran harga istimewa dan berpatutan.

“Antara makanan popular seperti otak-otak, ikan celup tepung, ikan patin dan ikan baung masak tempoyak, pais patin, daging salai, perut masak lemak, maggi ketam dan makanan laut, nasi goreng ketam, nasi minyak ikan bakar, daging dan kambing bakar.

“Satay, ayam gunting, sosej, kuih muih, ayam pusing, nasi ayam pusing, jus pegaga dan jus buah. Terdapat juga karavan dan ‘food truck’ yang menjual coconut shake, nasi lemak, makanan barat, kek dan bakeri serta Kopie Satu yang dibawa khas FAMA dari Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, antara produk yang menjadi tumpuan ialah jualan minyak masak, gula dan tepung yang menawarkan harga promosi termasuk boleh membeli secara online.

“Orang ramai boleh mengunjungi gerai pameran FAMA yang menyediakan perkhidmatan seperti agrobazaar online dan kaunter khidmat pelanggan serta Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Pencapaian keseluruhan program MBB sejak tahun 2014 hingga 30 September lalu membabitkan nilai jualan sebanyak RM29.3 juta dengan 1.5 juta pengunjung.

“Program MBB ini dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan, membantu rakyat menangani kos sara hidup dan mewujudkan program yang mempunyai kos yang rendah, perlaksanaan pantas serta mampan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 10:02 AM