LAMAN web carian hotel mesra Muslim, tripfez.com.
LAMAN web carian hotel mesra Muslim, tripfez.com.
Suliati Asri


Bercuti di luar negara sememangnya cukup menyeronokkan. Iklim yang bermusim, pemandangan indah dan sosiobudaya berbeza antara perkara menggamit jiwa.

Namun, tidak ramai pelancong Muslim yang berani meneroka negara asing yang unik sekali gus keluar dari zon selesa saat bercuti.

Kesukaran mencari hotel yang menyediakan makanan halal atau di kawasan sekitarnya antara masalah utama pelancong Muslim.

Ketiadaan petunjuk arah kiblat dalam bilik penginapan, panduan waktu solat tempatan dan peti ais mini yang dipenuhi alkohol juga antara penghalang pelancong Muslim mengunjungi sesebuah negara.

Menyedari kesukaran mencari hotel di luar negara yang sesuai dengan keperluan dan keselesaan pelancong Muslim, laman web www.tripfez.com yang menggabungkan Salam Standard iaitu standard hospitaliti global untuk pelancong Muslim mencari hotel dengan makanan halal, kemudahan solat serta banyak lagi dibangunkan.

Cetusan idea dua rakan baik, laman web yang dibangunkan sejak dua tahun lalu itu nyata memudahkan pelancong Muslim di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Bersama, Faeez Fadhlillah, 30, berkata menerusi laman web ini, pelancong dapat melihat kemudahan yang ditawarkan hotel di destinasi yang dituju.

Katanya, dengan hanya menaip destinasi yang dituju, tarik daftar masuk dan daftar keluar di ruang yang disediakan, pelancong boleh melihat senarai hotel di negara dituju, harga dan kemudahan yang ditawarkan menerusi Salam Standard.

“Ketika membuat carian, senarai hotel dengan taraf bintang dan harga serta kemudahan seperti wi-fi akan tertera.

“Kelebihan tripfez.com ini terletak pada Salam Standard apabila pelancong dapat melihat kemudahan lain yang ditawarkan khusus untuk pelancong Muslim seperti sejadah, arah kiblat, makanan halal, peti ais mini bebas alkohol dan senarai restoran halal berdekatan,” katanya.

Tripfez memaparkan lebih 55,000 hotel di seluruh dunia dan bersama Salam Standard, laman web ini memudahkan pelancong Muslim untuk bebas bercuti di destinasi pilihan dan keluar dari zon selesa mereka.

Kata Faeez, salah satu faktor laman web ini dibangunkan adalah untuk membantu pelancong Muslim untuk keluar dari zon selesa mereka saat bercuti.

“Biasanya, pelancong Muslim sukar untuk mengunjungi destinasi yang jarang dikunjungi kerana risau akan pelbagai hal termasuk makanan halal, waktu solat dan banyak lagi.

“Dengan adanya laman web ini, pelancong Muslim kini bebas meneroka di serata dunia dan mengetahui segala perkhidmatan sesuai yang disediakan dengan carian paling mudah dan paling murah untuk perjalanan diberkati menerusi tripfez.com ini,” katanya.

Menjadi laman tempahan hotel mesra Muslim, banyak lagi kemudahan lain akan ditawarkan kepada pengunjung laman web tripfez.com menerusi kerjasama daripada hotel dan laman tempahan percutian lain.

Pakej percutian Muslim juga akan ditawarkan di laman web ini tidak lama lagi.

Oleh itu, bagi anda yang ingin bercuti di luar negara dan memerlukan penginapan dilengkapi kemudahan khusus buat Muslim, carian di laman web ini nyata tidak mengecewakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 12:53 PM