SULE (kanan) berkongsi gambar keadaan terkini Tukul baru-baru ini.
SULE (kanan) berkongsi gambar keadaan terkini Tukul baru-baru ini.
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Syukur alhamdulillah dapat bertemu Ramadan sekali lagi. Bulan keberkatan dan membawa seribu rahmat sekali gus berpeluang meningkatkan amalan dan ibadah.

Kita juga berharap seluruh karyawan seni yang berdepan ujian dari segi kesempitan hidup kerana tekanan ekonomi memuncak dan masalah kesihatan dapat kembali pulih seperti normal.

Saban hari ada sahaja isu kontroversi yang melanda selebriti tanah air.

Sebelum menjengah Ramadan kita dikejutkan dengan kes tangkap khalwat yang didakwa membabitkan dua pasangan artis popular tanah air di sebuah kondominium di ibu kota, Jumaat lalu.

Pasangan itu dikatakan sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersama. Sehingga kini kita tertunggu penjelasan pihak berkaitan mengenai isu ini. Diharap segalanya berjalan lancar sahaja ya.

Sudah namanya public figure pastinya kehidupan mereka menjadi perhatian.

Tidak hanya selebriti itu sendiri malah keluarga mereka juga merasa tempias populariti dan kontroversi yang melanda.

Bukan hanya menjadi tumpuan dengan berita kontroversi atau sensasi malah dijadikan 'mainan' pihak tertentu mempersoalkan ajal maut mereka.

Pantang tengok kawan tu sakit pasti ada berita mengaitkan kematian palsu mereka.

Dalam hal ini, ia turut dilalui keluarga pelawak terkenal dari Indonesia, Tukul Arwana yang popular dengan program bual bicara Empat Mata.

Penulis sebelum ini berkesempatan bertemu dan melihat sendiri bagaimana pengaruh dan aura Tukul atau nama sebenarnya Riyanto, 60, asal Semarang, Jawa Tengah menguasai pentas.

Pelakon dan pengacara yang popular dengan tagline 'kembali ke laptop' ini mendapat pujian ramai kerana bakat aslinya.

Tidak bersandarkan rupa paras sebaliknya kemahiran berbicara membuatkan penonton melekat di depan televisyen setiap kali program berkenaan disiarkan.

Pastinya elemen lucu dan topik menarik dipersembahkan oleh Tukul yang juga teraju program itu sejak 2006 membuatkan diiktiraf dunia serta pernah berpanggung secara langsung di Bandung, Semarang dan Melbourne.

Program itu melakar sejarah apabila memenangi Panasonic Awards bagi kategori Talkshow Hiburan Terbaik dua tahun berturut-turut (2009 dan 2010).

Kehidupan Tukul sebelum bergelar superstar juga diuji dengan pelbagai perkara. Dia dibesarkan oleh seorang jiran yang tidak mempunyai anak dan cukup rapat dengan keluarga mereka. Dek kerana sering sakit ketika kanak-kanaknya dia diberikan nama Tukul. Sejak itu keadaannya berubah.

Pembabitan awal Tukul dalam dunia hiburan bermula sebagai pelawak dan sering tampil menjayakan persembahan di acara komedi.

Sememangnya dia mempunyai bakat seni semula jadi sejak kanak-kanak kerana begitu aktif dalam pelbagai acara hiburan di sekolah.

Pembabitan Tukul dalam muzik video (MV) berjudul Air bersama Joshua sekitar 1997 serta beberapa MV lain seperti Bangun Tidur, Kapal Terbang, Tul Jaenak dan banyak lagi menyerlahkan bakatnya.

Tukul berjaya menarik perhatian beberapa stesen televisyen tempatan untuk mengetengahkannya program hiburan seperti Aduhai di TPI dan Dangdut Ria di Indosiar sebelum membina nama menerusi program Empat Mata.

Tukul juga pernah menjadi pemandu 'angkutan kota' (pengangkutan kenderaan awam) sebelum terkenal di pentas seni Indonesia.

Begitupun, malang menimpa Tukul apabila diuji dengan kesihatan merudum selepas bapa kepada dua anak ini dilaporkan mengalami pendarahan otak sehingga disahkan menghidapi strok sejak empat tahun lalu dan mula berehat dari dunia hiburan.

Dikhabarkan oleh beberapa rakan seangkatannya dia kini semakin dalam keadaan baik dan masih menjalani proses rawatan pemulihan.

Menurut Vega Darwanti yang berkesempatan melawat rakan segandingan mengacara dalam program Empat Mata atau nama seterusnya iaitu Bukan Empat Mata dan Ini Bukan Empat Mata itu, keadaan Tukul agak sukar untuk berkomunikasi dan masih menjalani rawatan pemulihan.

Vega juga pengacara terkenal Indonesia berharap Tukul kembali cergas.

Minggu lalu, seorang lagi sahabat juga pelawak terkenal Indonesia, Sule mendedah pertemuan dengan Tukul yang ceria menerima kunjungan tetamu tapi masih memakai alat saluran atau hos bantuan dihidungnya.

Sule yang popular menerusi program Opera Van Java berkongsi beberapa gambar bersama Tukul di media sosial dengan keterangan mendoakan agar Mas Tukul cepat sembuh.

Selain berkongsi foto momen ketika mereka terbabit dalam program hiburan suatu masa dulu. Sule juga memberitahu keadaan Tukul semakin baik daripada sebelumnya.

"Alhamdulillah mulai membaik. I Miss U Mas," tulis Sule. Pelbagai maklum balas positif diterima peminat dan pengikut dengan rata-rata mendoakan kesejahteraan mereka.

Masing-masing menyatakan kerinduan serta mendoakan agar Tukul dapat segera pulih dan kembali ke dunia hiburan.

Sama-sama kita doakan yang terbaik buat mereka yang sedang sakit dan berdepan kesulitan hidup.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 7:01 AM