DOKTOR Korea Selatan mengadakan bantahan kerana tidak puas hati   dengan dasar kerajaan berkenaan  kakitangan perubatan.
DOKTOR Korea Selatan mengadakan bantahan kerana tidak puas hati dengan dasar kerajaan berkenaan kakitangan perubatan.
Syarifah Dayana Syed Bakri

BARU-BARU ini saya berkunjung ke hospital kerajaan untuk janji temu pemeriksaan kesihatan.

Dari kaunter pendaftaran hingga ke klinik pakar, saya menunggu kira-kira satu jam. Saya turut membawa buku untuk dibaca namun beberapa helai saja sempat ditelaah sehinggalah nombor saya tertera di papan angka giliran.

Pertemuan dengan doktor pakar juga sangat memuaskan hati kerana doktor turut beri peluang kepada saya bertanya apa saja kebimbangan yang terlintas di fikiran membabitkan tahap kesihatan saya.

Malah, doktor pakar berkenaan juga turut memberi cadangan klinik swasta mana yang sesuai dituju sekiranya saya mahu mendapatkan rawatan sampingan berkaitan keadaan saya.

Saya yakin kelancaran operasi di hospital bukan saja kerana hasil kerja doktor pakar sebaliknya ia turut dibantu doktor pelatih, jururawat malah, kakitangan teknikal, kakitangan di kaunter pendaftaran hinggalah pekerja pembersihan.

Tidak mungkin tenaga doktor pakar semata-mata dapat mengawal operasi harian hospital awam yang sentiasa penuh dengan kunjungan pesakit dan waris pesakit.

Apa akan jadi sekiranya hanya doktor pakar atau doktor berjawatan tetap saja yang bertugas sepanjang hari?

Keadaan seumpama ini boleh dilihat berlaku di Korea Selatan pada minggu ini.

Media melaporkan, lebih 8,000 doktor pelatih atau 'houseman' telah mengemukakan peletakan jawatan, selepas mengadakan protes akibat tidak berpuas hati dengan rancangan kerajaan untuk meningkatkan bilangan pelajar perubatan.

Kerajaan Korea Selatan mahu meningkatkan kemasukan pelajar ke sekolah perubatan daripada 3,000 ketika ini kepada 5,000 pada tahun akademik 2025, dan kemudian menambah 10,000 lagi menjelang 2035, dalam usaha untuk meningkatkan penjagaan kesihatan di kawasan terpencil selain menghadapi peningkatan warga tua di Korea Selatan.

Kerajaan berkata, peningkatan dalam kuota kemasukan diperlukan untuk menangani kekurangan doktor, terutamanya di kawasan luar bandar dan bidang perubatan penting, seperti pembedahan berisiko tinggi, pediatrik, obstetrik dan perubatan kecemasan.

Doktor dan pelajar perubatan yang menyertai protes itu, bagaimanapun berkata, Korea Selatan mempunyai doktor yang mencukupi, dan pihak berkuasa harus mengutamakan usaha memperbaiki gaji semasa dan keadaan persekitaran kerja, terutamanya bagi kepakaran dalam menuntut bidang seperti pediatrik dan perubatan kecemasan, sebelum mengambil lebih ramai pelajar baharu.

Lebih 70 peratus atau 8,816, doktor pelatih hospital umum meletak jawatan beramai-ramai setakat ini sebagai membantah rancangan pembaharuan untuk menambah kuota kemasukan ke sekolah perubatan, lapor Yonhap.

Daripada jumlah itu, 7,813 mengingkari arahan kerajaan supaya kembali bekerja.

Ketiadaan doktor muda itu mencetuskan kebimbangan mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan, apabila operasi bilik pembedahan dikurangkan kepada serendah 50 peratus di lima hospital terbesar di Seoul setakat ini.

Kim seorang pesakit kanser saluran hempedu berusia 38 tahun terpaksa berpindah ke pusat perubatan lain.

Jeon Kyu-sik, 50-an, seorang pesakit epilepsi berkata kira-kira separuh daripada bilik hospital kosong dan keadaan itu hampir sama dengan pengabaian dan pesakit akan mati jika tidak dibedah segera.

Seorang jururawat di sebuah hospital kanak-kanak memaklumkan kepada pesakit dan ibu bapa bahawa pada masa ini, semua perkhidmatan di hospital dia bertugas terpaksa ditangguhkan.

Kira-kira 76 peratus rakyat Korea Selatan menyokong rancangan kerajaan untuk menambah bilangan pelajar perubatan, tinjauan Gallup Korea menunjukkan minggu lalu.

Ini kerana muncul kebimbangan mengenai kekurangan kakitangan di wad pediatrik, unit kecemasan dan klinik di luar kawasan tumpuan.

Penduduk Korea Selatan yang berjumlah 52 juta mempunyai 2.6 doktor bagi setiap 1,000 orang pada 2022, jauh di bawah purata 3.7 yang disarankan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Isu berkaitan kakitangan kesihatan sememangnya sesuatu yang agak sensitif dan perlu ditangani sebaik-baiknya.

Tidak kira di negara mana pun, kakitangan kesihatan perlu dihargai sewajarnya. Bukan mudah menelaah buku perubatan siang dan malam ketika di universiti, selepas tamat pengajian, perlu pula menghadap ragam pesakit dan waris yang bermacam kerenah.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 12:12 PM